Lan A To Z seronok tengok artis lama aktif kembali

Lan A To Z seronok tengok artis lama aktif kembali

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Anggota kumpulan A To Z, Lan, 55, meluahkan rasa teruja melihat artis-artis dan kumpulan popular era 90-an yang kini kembali popular dan mengadakan konsert.

Menurut Lan atau nama sebenarnya Norazlan Abdul Aziz, dia dan dua rakan seperjuangannya, Jeff dan Chap sememangnya menyimpan impian untuk mengadakan konsert memandangkan tahun ini, genap 30 tahun usia mereka dalam industri.

“Kami pun seronok tengok artis-artis lama mula aktif semula. KRU, contohnya, memang ‘mencabar keimanan’ sebab mereka sangat berjaya menarik perhatian ramai.

“Memang nampak jelas peminat 90-an masih setia dan ramai. Kami dah lama tak keluar sebagai A To Z. Kalau secara solo itu ada juga, tapi itu bukan A To Z.

“Sebenarnya kami memang teringin nak buat konsert sendiri sebab dah lama tak ada. Tapi kami perlu mula perlahan-lahan, dan kena panaskan badan dahulu,” katanya kepada Harian Metro.

Selain aktif dalam bidang seni, Lan kini mengusahakan perniagaan berkaitan sistem audio (PA system), DJ dan pengacaraan majlis sejak tujuh tahun lalu.

“Setakat ini, setiap minggu ada saja tawaran kerja. Saya uruskan PA system, buat kerja-kerja DJ, dan jadi pengacara majlis. Rezeki itu sentiasa ada, alhamdulillah.

“Jeff pula masih bekerja di tempat lama dan kekal aktif dengan rutin hariannya dalam bidang perniagaan automotif manakala Chap pula, dulu kami memang hilang hubungan (lost contact), tapi baru-baru ini dapat hubungi semula.

“Harapnya selepas ini kita boleh eratkan semula persahabatan dan mungkin kembali bersama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top