DI SEBALIK CERITA
SIRI 1
syafil.syazwan@hmetro.com.my
SIAPA sangka seorang pelajar pernah bergelar qari di sekolah agama, yang dulunya bekerja di kilang perabot akhirnya menjadi vokalis utama kumpulan pop terkenal era 1990-an, A To Z.
Itulah perjalanan luar biasa penyanyi Norazlan Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Lan A To Z, yang tidak pernah menyangka hidupnya akan berubah sekelip mata selepas satu sesi uji bakat pada awal dekad 90-an.
“Jujurnya, saya tak pernah terfikir langsung nak jadi penyanyi. Lepas tamat kolej sekitar tahun 1991, saya bekerja dengan sepupu di sebuah kilang perabot di Klang sebagai penolong pengurus,” katanya.
Menurut Lan, segala-galanya bermula secara tidak dirancang apabila seorang rakan menjemputnya menyertai uji bakat kumpulan muzik yang sedang mencari vokalis.
“Kawan saya tahu saya boleh mengaji sebab sejak kecil saya memang qari di sekolah agama. Jadi bila mereka nak pergi uji bakat tapi tak ada penyanyi, saya ‘dipinjamkan’ sekejap.
“Saya pun nyanyi lagu Alleycats tapi versi rock mengikut susunan muzik yang mereka dah buat,” katanya.
Sesi uji bakat itu berlangsung di Keramat Wangsa dan dikendalikan oleh penerbit dan komposer, Allahyarham Ahmad Zakaria atau Abang Kiya, nama besar dalam dunia muzik ketika itu. Siapa sangka, di situlah titik mula segalanya.
“Lepas saya nyanyi, Abang Kiya datang bisik, katanya saya boleh menyanyi. Dia tanya pengalaman, saya jawab tak ada langsung. Tapi dia ambil nombor telefon dan kata akan hubungi saya.
“Tak lama kemudian, saya terima panggilan telefon. Dia tanya, ‘Nak jadi penyanyi tak?’ Siapa tak nak, kan? Jadi saya berhenti kerja dan balik semula ke Kuala Lumpur.
“Bila saya menyanyi depan dia, dia kata, ‘Suara ada, muka pun ada. Cuma satu lagi, kena belajar,” katanya.
Lan kemudiannya mengikut Abang Kiya selama setahun untuk belajar menyanyi sambil mendalami ilmu dakwah sesuatu yang tidak dijangka sama sekali.
“Abang Kiya kuat dengan kerja dakwah, jadi saya belajar sambil ikut dia berdakwah. Lepas setahun, barulah saya mula merakam lagu Berdendang juga lagu pertama saya, yang sepatutnya dinyanyikan oleh dia sendiri.
“Rakaman pertama dilakukan di Studio The Booty Boys di Jalan Pahang. Ketika itu, kata Lan, dia tidak menyangka akan benar-benar menjadi artis rakaman.
“Bayangkan, orang yang tak pernah impikan jadi penyanyi tiba-tiba masuk studio rakaman. Memang terkejut dan rasa kagum gila,” katanya.
Namun, perjalanan awalnya tidak mudah. Ibu bapa tidak menyokong keputusan untuk berhenti kerja.
“Mak bising sebab saya berhenti kerja. Bapa pula memang pantang anak jadi artis sebab tak pernah ada dalam keluarga kami.
“Tapi abang tiri saya, yang pernah masuk Bintang HMI, cakap, ‘Kau dah dapat peluang, ‘grab’-lah! Langgar dulu’,” katanya.
Pada tahun 1994, lagu Berdendang akhirnya ‘sangkut’ di syarikat rakaman Sony Music. Namun, ketika uji bakat di depan Awang BPR, berlaku satu lagi titik perubahan besar.
“Abang Awang tanya, ‘Bolehkah kalau buat album solo?’. Saya pun teragak-agak sebab tak ada pengalaman. Jadi dia cadangkan supaya saya bentuk kumpulan,” katanya.
Cadangan itu menjadi permulaan kepada kewujudan kumpulan A To Z. Lan kemudiannya mula mencari rakan sepasukan bermula dengan Affendey Zainon atau Fendi.
“Saya jumpa arwah Fendi yang memang handal main gitar. Saya cakap padanya, ‘Saya ada material nak bawa ke Sony, tapi tak cukup orang.’
“Dia setuju. Lepas itu saya jumpa Jeff, yang pada waktu itu dia DJ di sebuah tempat karaoke. Saya ajak dia sebab tinggi pun lebih kurang sama,” katanya.
Akhirnya, Sony Music bersetuju menandatangani mereka dan rakaman album pertama, berjudul Comel pun dimulakan. Namun, kumpulan itu masih belum mempunyai nama.
“Sony Music tanya, ‘Nama kumpulan apa?’ Kami pun berbincang. Saya cadangkan Hits A To Z sebab nak lagu itu jadi hits dari A sampai Z, tapi Abang Kiya kata panjang.
“Kami cadangkan pula H A To Z kerana Abang Kiya cakap, zaman sekarang (waktu itu) semua nama kumpulan pendek-pendek contohnya KRU, 4U2C, dan Nico.
“Jadi kami pendekkan, tinggal A To Z saja. Itulah nama yang kekal sampai sekarang,” katanya.
Promosi pertama A To Z berlangsung di Jaya Jusco Wangsa Maju (sekarang Aeon Wangsa Maju), pada penghujung 1995 pengalaman yang tidak mungkin dilupakan Lann.
“Itulah kali pertama kami menyanyi depan orang ramai. Menggigil bukan main! Jeff saja nampak tenang sebab dia anak artis. Saya dan Fendi memang kelam kabut,” katanya.
Namun detik lucu turut mewarnai persembahan itu apabila dijerit oleh penonton di bawah pentas.
“Ada penonton jerit dari bawah, ‘Woi, brader! Relakslah! Apa benda menggigil ni?’ Sampai sekarang saya ingat suara itu,” katanya.
Tidak lama selepas itu, lagu Berdendang mula diputarkan di radio. Dalam masa sebulan, nama A To Z mula meniti di bibir peminat walaupun masih belum cukup dikenali.
“Satu hari, Ameng Spring dapat persembahan di Singapura. Sony minta dia tolong nyanyikan lagu Berdendang. Bila dia nyanyi, ramai tanya lagu siapa. Dari situlah lagu itu mula meletup,” katanya.
Album sulung mereka, Comel, akhirnya melonjakkan nama A To Z dalam industri muzik tanah air sekali gus mula memanjat populariti.
“Nama album itu pun idea Abang Kiya. Katanya kami nampak macam adik-adik dia yang comel,” katanya.
Selepas kejayaan album pertama, A To Z menyertai pertandingan Puncak 10 NescafÈ anjuran RTM yang menjelajah ke seluruh negara.
“Dari situlah orang nampak A To Z boleh pergi jauh. Setiap kali naik pentas, penonton menjerit sakan. Lagu Berdendang pula menang Top Song of the Year 1995,” katanya.
Namun siapa sangka, lagu yang pada awalnya tidak disukai itulah yang mengubah hidup Lann dan rakan-rakannya.
“Siapa sangka, sewaktu Abang Kiya bagi lagu itu dulu, saya kata, ‘Lagu apa ini bang? Tak nak lah saya nyanyi.’
“Tapi dia cakap, ‘Lagu ini aku buat lepas solat hajat. Aku nak kau nyanyi sebab suara aku tak sedap.’ Akhirnya saya terima, dan tak sangka jadi fenomena,” katanya.
Tahun ini, genap 30 tahun perjalanan A To Z dalam industri muzik tanah air, satu tempoh yang cukup panjang dan penuh kenangan.
“Semua bermula tanpa dirancang. Dari kerja kilang ke pentas seni, dari qari sekolah agama jadi penyanyi popular. Ia semua kerja Tuhan,” katanya.
SIRI 2 : Buat pelbagai kerja karyawan seni
© New Straits Times Press (M) Bhd




