Lancar Album Studio Ke-11, Dayang Nurfaizah Sebak Arwah Iman Imran Tak Sempat Dengar Lagu Mencintai Cinta

Lancar Album Studio Ke-11, Dayang Nurfaizah Sebak Arwah Iman Imran Tak Sempat Dengar Lagu Mencintai Cinta

Penyanyi popular, Dayang Nurfaizah meluahkan rasa sebak apabila penulis lirik tersohor, Allahyarham Iman Imran tidak berkesempatan untuk mendengar lagu Mencintai Cinta.

Iman Imran atau nama sebenarnya, Rudy Imran Shamsudin menulis lirik lagu Mencintai Cinta dan karya itu dimuatkan dalam album studio ke-11 berjudul Janji yang boleh didengari di semua platform penstriman bermula hari ini.

“Lagu ini merupakan ciptaan Ajai dan liriknya pula Rudy yang tulis. Sepatutnya, lagu ini dirakamkan dua tahun lalu, namun, ketika proses rakaman, saya tak sihat.

“Saya gagahkan diri melalui proses rakaman lagu itu, namun Ajai meminta saya berehat dan merakam semula kerana keadaan kesihatan saya yang tidak mengizinkan. Rupanya, saya disahkan positif COVID-19 hingga kerja rakaman ditangguhkan.

“Lebih membuatkan saya sebak dan sedih, arwah Rudy telah ‘pergi’ terlebih dahulu sebelum sempat lagu Mencintai Cinta dirakamkan,” katanya.

Dayang ditemui XTRA di majlis pra-dengar media album Janji di pejabat Universal Music Malaysia, Petaling Jaya, semalam.

Selain Mencintai Cinta, Rudy menghasilkan lirik lagu popular Dayang seperti Di Pintu Syurga dan Lelaki Teragung yang menjadi pemenang Anugerah Juara Lagu ke-31.

Mendedikasikan album Janji buat arwah Rudy yang sudah dianggap sebagai sahabat baiknya, Dayang mendedahkan bekas wartawan hiburan Harian Metro itu kerap bertanya mengenai rakaman lagu ini.

“Arwah Rudy yang berjuang melawan kanser sebelum ini kerap bertanya kepada saya, bila nak rakam Mencintai Cinta? Dia kata jangan tunggu, dia takut tidak sempat.

“Ternyata Allah lebih menyayangi arwah. Akhirnya, selepas dua tahun, barulah ia selesai dan dimuatkan dalam album terbaharu saya. Album Janji ini saya dedikasikan untuk Allahyarham Rudy. Jika dia ada, pasti dia gembira dengan hasil akhir lagu terbabit,” katanya.

Selain Mencintai Cinta, Dayang memuatkan 12 lagu lain, antaranya Lemah, Mungkin Ke, Aku, Esok Lusa Selamanya dan Dunia Lain sebagai buah tangan untuk peminat.

Selain itu, Dayang turut merakamkan semula lagu Hakikat Cinta yang pernah dimuatkan dalam album studio pertamanya. Lagu terbabit menjadi hadiah kepada penggemar muziknya bersempena ulang tahun ke-25 penyanyi itu dalam dunia seni tanah air.

Scroll to Top