kartika@hmetro.com.my
TOSHIBA Sales & Services Sdn Bhd (Toshiba), memperkenalkan inovasi terbaharunya, Peti Sejuk Siri NaturePURE 820 liter yang diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records sebagai peti sejuk berkapasiti terbesar di rantau Asia Pasifik.
Pengarah Urusan Toshiba, Steven Yang berkata, pelancaran penting itu menandakan pencapaian besar sempena ulang tahun ke-95 Toshiba yang memperingati hampir satu abad kecemerlangannya dalam inovasi, kebolehpercayaan dan kepuasan pelanggan.
“Peti Sejuk NaturePURE 820L adalah peti sejuk pertama di Asia Pasifik dengan empat pintu sisi (side-by-side) yang melebihi kapasiti 820 liter.
“Direka khas untuk kediaman pelbagai generasi, ia menawarkan ruang penyimpanan yang luas dan bersegmen sesuai untuk menyimpan pelbagai barangan seperti makanan bayi, hasil segar, barangan penjagaan kulit dan makanan sejuk beku,” katanya di majlis pelancaran Peti Sejuk Siri NaturePURE 820L Toshiba, semalam.
Dikuasakan oleh Teknologi Berkapasiti Tinggi, NaturePURE dilengkapi penebat ultra nipis dan komponen miniatur untuk memaksimumkan ruang dalaman tanpa menambah saiz luaran.
Sementara itu, mengulas mengenai rancangan strategik Toshiba, Yang berkata pihaknya memperuntukkan sekitar RM20 juta di bawah inisiatif 2025-2026 bagi pemasaran digital, penjenamaan serta meningkatkan akses dan pengalaman pelanggan di seluruh Malaysia.
Katanya, Toshiba sudah membuka kedai jenama pertamanya di Kuala Lumpur pada tahun 2024 bagi meningkatkan akses serta pengalaman pelanggan dan menerima sambutan luar biasa daripada pengguna.
Menurutnya, kejayaan itu mendorong perluasan pesat dengan 14 kedai jenama kini beroperasi di seluruh negara.
“Kami sasarkan untuk membuka satu kedai utama (flagship store) dan menubuhkan 50 outlet Shop-in-Shop (SIS) menjelang akhir 2025.
“Selain itu, Toshiba Malaysia menyasarkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 25 peratus, didorong oleh permintaan yang meningkat terhadap peralatan rumah pintar dan berestetika tinggi,” katanya.
Beliau berkata, tahun ini Toshiba terus mencatat pertumbuhan kukuh dengan memperluaskan rangkaian produk yang pelbagai bagi memenuhi keperluan dan nilai pengguna masa kini.
“Sehingga suku pertama 2025, Toshiba Malaysia mencatat penguasaan pasaran yang ketara dalam kategori utama peralatan rumah meliputi peti sejuk sebanyak 16.7 peratus, mesin basuh (13.6 peratus) dengan masing-masing berada di kedudukan kedua dan ketuhar gelombang mikro (10.5 peratus) di kedudukan kelima dalam pasaran tempatan,” katanya.
Yang berkata, penguasaan pasaran ini didorong permintaan berterusan terhadap solusi rumah pintar, berfungsi dan cekap tenaga, mencerminkan kekuatan jenama dalam menawarkan penyelesaian gaya hidup yang relevan untuk isi rumah Malaysia.
Beliau berkata, di peringkat Asia Pasifik, Toshiba terus mengukuhkan jejak pasaran dengan Thailand mencatatkan prestasi kukuh dan Jepun, pasaran asalnya, kekal dominan dari segi kesetiaan pelanggan.
© New Straits Times Press (M) Bhd