sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) mengukuhkan lagi benteng pertahanan selepas ‘merantai’ pemain import kelahiran Brazil, Diego Landis menjelang tirai Liga Malaysia (Liga M) bermula pada 8 Ogos ini.
Kehadiran pemain import keenam berketinggian 1.93 meter itu adalah rekrut terakhir skuad Penyu bagi mengharungi kancah Liga M musim 2025/2026.
Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, pemain berusia 27 tahun yang pernah menyarung jersi kelab Porto B dalam Liga Portugal musim 2918-2019 diikat selama setahun.
“TFC secara rasmi mengumumkan kehadiran pemain import baharu, Diego Landis yang telah menandatangani kontrak bersama skuad Penyu bagi menghadapi saingan Liga M musim ini.
“Pemain yang memiliki pengalaman luas di peringkat Asia dan Asia Tenggara itu akan memperkuatkan barisan pertahanan pasukan bawah kendalian ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali dan penolongnya, Tengku Hazman Raja Hasaan.
“Dengan kehadiran Landis, barisan kejurulatihan kini memiliki lebih banyak pilihan di bahagian pertahanan tengah terutama selepas perpindahan beberapa pemain utama pada penghujung musim lalu.
“Kehadirannya juga dijangka akan memberikan kestabilan dan ketenangan di barisan belakang sekali gus memperbaiki rekod pertahanan TFC yang menjadi tumpuan musim lepas.
“Landis akan memulakan sesi latihan kecergasan bermula minggu ini dan penyokong dijangka dapat melihat pemain itu beraksi buat kali pertama dalam beberapa siri perlawanan persahabatan yang akan diadakan menjelang musim baharu bermula,” ujar Mohd Syahrizan menerusi kenyataan media hari ini.
Sebelum menyertai TFC, Landis beraksi bersama kelab Khon Kaen United dan Nakhon Ratchasima FC dalam Liga Thailand.
Pemain yang dikenali dengan gaya permainan yang tenang, disiplin serta kekuatan dalam pertarungan udara dan laju dalam membuat larian semasa bertahan telah lulus pemeriksaan kesihatan serta ujian kecergasan di Kuala Lumpur.
Terdahulu skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu sudah menandatangani lima pemain import iaitu Yann Mabella (Perancis), Careca (Brazil), Gabriel Costa (Brazil), Junior Sam (Cameroon) serta menyambung kontrak pemain musim lalu kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov.
© New Straits Times Press (M) Bhd