surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan pemandu Nissan Navara yang tular dalam kemalangan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap pasangan suami isteri di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Duta di sini, mengundang padah apabila dia dihukum penjara 30 hari dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
K Darmaraju, 32, mengaku bersalah sebaik pertuduhan memandu secara melulu yang dibaca di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap, 11 Mei lalu.
Sebelum ini Harian Metro melaporkan sepasang suami isteri parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Plus berhampiran Plaza Tol Duta.
Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 53 tahun mengalami retak tulang selangka dan luka pada buku lali manakala isterinya berusia 49 tahun yang juga pembonceng motosikal cedera parah termasuk pendarahan di kepala, patah tulang rusuk dan buku lali.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis Benelli TRK 502 yang ditunggang mangsa sedang bergerak di lorong kiri sebelum dirempuh sebuah Nissan Navara dari arah kanan.
Pemandu lelaki Nissan Navara tidak mengalami sebarang kecederaan dan membuat laporan polis pada hari sama sekitar jam 6.55 petang.
Terdahulu, video kemalangan itu tular di media sosial selepas dimuat naik akaun ‘DashCam Malaysia’ dan mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd