Langit berapi di Timur Tengah

Langit berapi di Timur Tengah

KONFLIK ketenteraan di antara Israel dan Iran kini mencapai tahap paling getir sejak permusuhan mereka bermula berdekad lalu.

Tarikh 13 Jun lalu, sejarah mencatat peristiwa luar biasa apabila kedua-dua negara melancarkan serangan secara langsung – satu perkembangan yang dilihat sebagai permulaan kepada perang skala besar di Timur Tengah.

Tidak seperti konfrontasi proksi sebelum ini, pertarungan kali ini berlangsung secara terbuka dengan penggunaan teknologi ketenteraan paling canggih yang dimiliki oleh kedua-dua belah pihak.

Konflik memuncak apabila Iran membalas serangan udara Israel ke atas fasiliti ketenteraannya dengan pelancaran serangan berskala besar yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Lebih 150 peluru berpandu balistik jarak jauh dan sekitar 120 dron tempur dilancarkan dari pelbagai lokasi di Iran ke arah bandar-bandar utama Israel seperti Tel Aviv, Haifa, Bat Yam dan kawasan berhampiran Lapangan Terbang Ben Gurion.

Antara senjata utama yang digunakan oleh Iran ialah:

Peluru Berpandu Balistik Shahab-3: Jarak hingga 2,000 kilometer, mampu membawa kepala peledak konvensional atau nuklear. Ia digunakan untuk menyerang depot tentera dan tapak radar di selatan Israel.

Dron Shahed-136 dan Mohajer-6: Dron jenis kamikaze dan peninjau yang digunakan untuk menyerang sistem pertahanan Iron Dome serta sasaran awam.

Peluru Berpandu Khaibar Shekan: Model generasi terbaru buatan IRGC yang dipercayai lebih pantas dan sukar dikesan radar Israel.

Walaupun sistem pertahanan udara Israel termasuk Iron Dome, David’s Sling dan sistem laser Iron Beam berjaya memintas lebih 70 peratus serangan tersebut namun serangan berterusan mengakibatkan kebocoran di beberapa kawasan. Antara lokasi yang mengalami kerosakan teruk ialah Ramat Gan dan kawasan perindustrian di Tel Aviv.

Sebelum itu, Israel menggerakkan Operasi Rising Lion iaitu serangan balas bersasar ke atas fasiliti strategik Iran – termasuk tapak peluru berpandu, kilang pengayaan uranium di Natanz dan markas utama Pengawal Revolusi Iran (IRGC) di Teheran.

Serangan udara turut memusnahkan beberapa bangunan kerajaan dan loji tenaga.

Senjata utama yang digunakan Israel termasuk:

Pesawat F-35I Adir: Pesawat halimunan buatan Amerika yang digunakan untuk serangan berkecekapan tinggi dan sukar dikesan radar Iran.

Peluru Berpandu Delilah dan Popeye Turbo: Digunakan untuk memusnahkan sistem pertahanan udara Iran dan bunker bawah tanah.

Dron Hermes 900 dan Heron TP: Dron pengawasan dan pembunuh berteknologi tinggi yang menjalankan operasi sasaran ke atas konvoi senjata IRGC.

Kesan daripada serangan ini sangat besar. Sekurang-kurangnya 100 rakyat Iran terbunuh, termasuk saintis nuklear dan pegawai kanan tentera. Sumber perubatan di Teheran melaporkan hospital kehabisan bekalan ubat dan sistem kuasa di beberapa kawasan utama terputus.

Susulan peningkatan mendadak dalam serangan, rundingan nuklear antara Iran dan Amerika Syarikat yang dijadualkan berlangsung di Oman telah dibatalkan.

Amerika mengeluarkan amaran bahawa serangan terhadap kepentingan AS akan disambut dengan ‘kuasa ketenteraan penuh yang belum pernah disaksikan.’

Sementara itu, Britain mengerahkan pesawat RAF Typhoon dan drone Reaper ke pangkalan tenteranya di Cyprus dan Teluk Parsi sebagai langkah bersiap sedia.

Rusia dan China menyeru agar semua pihak menahan diri namun pada masa sama mempertingkat kerjasama ketenteraan dengan Iran.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memanggil mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan namun belum ada keputusan konkrit dicapai. Liga Arab pula berpecah pendapat – sesetengah negara menyokong Iran secara terbuka manakala lain-lain memilih berkecuali.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top