Langit Kampung Batu Enam bermandi cahaya

Langit Kampung Batu Enam bermandi cahaya

am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Sejak lebih 40 tahun lalu, langit Kampung Batu Enam dekat sini akan bermandikan cahaya percikan bunga api apabila tiba malam ambang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tradisi hanya berlaku sekali setahun itu menyaksikan orang ramai dan penduduk sekitar berkumpul di Bulatan Batu Enam dan menyaksikan keindahan cahaya yang biasanya berlangsung lebih satu jam.

Penduduk Ismail Harun, 40, berkata, aktiviti itu bergantung kepada bekalan bunga api yang dikumpul penduduk.

“Permainan bunga api di kampung ini menjadi tarikan utama pada malam ambang Aidilfitri, hingga mendapat perhatian orang ramai.

“Biasanya jalan menuju ke bulatan kampung ini akan sesak dengan pengunjung luar yang ingin melihat percikan bunga api pelbagai jenis yang dimainkan penduduk,” katanya.

Menurutnya, orang ramai sudah sedia maklum mengenai lokasi utama tempat bermain bunga api yang disifatkan paling meriah.

Tambahnya, aktiviti ini dijalankan secara santai dalam kalangan penduduk selain secara tidak langsung dapat bertemu mata bersama penduduk yang pulang ke kampung halaman untuk berhari raya.

Pengunjung, Muhammad Ismadi Alias, 38, berkata, sebut saja Kampung Batu Enam, ramai sudah tahu mengenai tradisi bermain bunga api itu.

“Pelbagai jenis bunga api dimainkan di kampung ini hingga menarik orang ramai untuk berkumpul dan melihat bunga api dimainkan.

“Hanya malam ambang Aidilfitri saya dapat melihat begitu banyak bunga api dimainkan dalam satu masa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top