hafizthnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku pada malam ini mencipta sejarah tersendiri apabila ia mula muncul tepat ketika umat Islam sedang berbuka puasa pada pertengahan Ramadan.
Keunikan itu ditambah apabila cerapan rasmi anjuran Planetarium Negara bersama pengurusan Menara Merdeka 118 memberi peluang kepada tetamu khas menyaksikan sendiri fenomena berkenaan dari aras 118 bangunan ikonik negara itu.
Pengarah Planetarium Negara, Mohd Zamri Shah Mastor berkata, meskipun hujan lebat pada sebelah petang hampir menggagalkan perancangan, keadaan cuaca beransur baik sekitar jam 9 malam sekali gus membolehkan imej gerhana berjaya dirakam dan disiarkan secara langsung menerusi Facebook serta TikTok Planetarium Negara.
“Fenomena kali ini cukup istimewa kerana ia berlaku sewaktu waktu Maghrib dan pertengahan Ramadan.
“Gerhana bulan kali ini unik kerana ia bermula ketika umat Islam sedang berbuka puasa. Dalam keadaan kita berbuka, kita juga sedar bahawa fenomena sedang berlaku di langit,” katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.
Katanya, gerhana bulan berlaku apabila tiga objek iaitu bulan, bumi dan matahari berada dalam satu garisan lurus.
“Dalam keadaan itu, bumi berada di tengah-tengah dan menghalang cahaya matahari daripada sampai terus ke bulan. Apabila bulan memasuki bayang-bayang bumi, maka berlakulah gerhana.
“Ketika bulan berada dalam fasa purnama, tiba-tiba ia menjadi gelap kerana bayang-bayang bumi menutupi permukaannya,” katanya.
Menurutnya, bahagian bulan yang dilindungi bayang bumi tidak kelihatan hitam sepenuhnya sebaliknya berwarna kemerah-merahan.
“Warna merah itu berlaku kerana cahaya matahari yang melalui atmosfera bumi akan dibiaskan.
“Cahaya merah lebih mudah menembusi atmosfera dan sampai ke permukaan bulan, sebab itu kita nampak bulan seolah-olah berwarna merah,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai turut berhimpun di Masjid Al-Sultan Abdullah di kaki menara bagi menunaikan solat gerhana serta mendengar ceramah berkaitan fenomena berkenaan.
“Dianggarkan kira-kira 1,000 jemaah hadir, manakala sekitar 1,500 lagi mengikuti siaran langsung di media sosial.
“Gerhana bulan biasanya berlaku dua kali setahun namun tidak semestinya dapat dilihat di Malaysia.
“Tahun lalu gerhana penuh berlaku pada September, tetapi ia dapat disaksikan selepas tengah malam. Kali ini ia berlaku pada waktu Maghrib dan dapat dilihat di Malaysia, menjadikannya lebih istimewa.
“Hari ini seawal jam 5 petang kita sudah bersedia untuk melihat fenomena ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




