Langkah berani lindungi akidah, kesatuan umat

Langkah berani lindungi akidah, kesatuan umat

SATU keputusan besar telah diluluskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang dalam mesyuarat mereka pada 25 hingga 26 November 2024. Dengan sebulat suara, mereka memutuskan bahawa aliran dan dakyah Salafiah Wahabiah adalah sesat serta bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), yang menjadi tunjang pegangan umat Islam di negeri ini.

Bagi penulis, fatwa ini adalah satu langkah berani dan tepat pada masanya. Dalam kesesakan zaman media sosial yang rancak dan hingar, pelbagai aliran pemikiran mudah menyusup masuk – bukan sahaja mengelirukan orang awam, malah menggugat kesatuan dan warisan ilmu Islam yang sekian lama dijaga oleh ulama Nusantara.

Bidaah dipersempitkan

Antara isu utama dalam aliran Salafiah Wahabiah ialah kefahaman mereka terhadap konsep bidaah yang terlalu sempit. Segala amalan yang tidak dilakukan oleh mereka dianggap bidaah, sesat dan perlu ditolak, termasuk amalan-amalan seperti tahlil, qunut Subuh, bacaan Yasin malam Jumaat, Maulid Nabi dan sebagainya. Walhal, kesemua ini telah lama diamalkan oleh para ulama ASWJ dengan sandaran yang jelas, serta membawa manfaat dari segi ruhani dan perpaduan masyarakat.

Mereka juga mudah menjatuhkan hukum sesat terhadap amalan sunat yang tergolong dalam perkara khilafiyyah. Sikap ini secara tidak langsung memecah belahkan masyarakat – yang dahulu tenang dengan amalannya – kini berpecah kerana ada yang tiba-tiba tampil menyalahkan dan ‘mengajar’ semula masyarakat tanpa adab dan ilmu yang sahih.

Bahaya tauhid tiga serangkai

Lebih membimbangkan, mereka memperkenalkan konsep tauhid tiga serangkai (Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma’ wa Sifat), yang sebenarnya tiada dalam turath (khazanah klasik) ulama ASWJ sama ada zaman Salaf atau Khalaf. Pendekatan ini telah menimbulkan banyak kecelaruan, sehingga ada yang mula menuduh syirik ke atas umat Islam lain yang bertawassul, beristighasah dan menziarahi kubur. Pendekatan ini juga perlu dibersihkan daripada buku teks sekolah rendah dan menengah, termasuk juga dalam buku lain berunsur agama.

Anehnya, pendekatan ekstrem ini tidak disandarkan kepada ulama besar seperti Imam al-Ghazali, Imam Nawawi atau Imam Ibn Hajar, tetapi kepada tokoh-tokoh yang membawa fahaman yang bersifat literal, keras dan kering dari sisi tasawuf serta rohani.

Pintu radikalisme terbuka

Tidak terkejut apabila fatwa ini turut menyentuh kebimbangan terhadap fahaman radikal dan ekstrem. Sejarah telah membuktikan bahawa pendekatan keras dan Takfiri (mudah mengkafirkan) telah menjadi batu loncatan kepada kemunculan kumpulan pelampau seperti ISIS dan Jemaah Islamiyah (JI). Fahaman tauhid ala Wahabi ini bukan sahaja mencetuskan kekeliruan, malah membuka ruang kepada pengganasan atas nama ‘tauhid’.

Mungkin ada yang mendakwa, ‘kami tidak ekstrem.’ Tetapi jika manhaj yang diikuti sama, pemikiran yang dibentuk juga perlahan-lahan membawa ke arah yang sama – permusuhan, penyesatan, dan akhirnya keganasan. Hal ini dapat dibuktikan dalam website rasmi ISIS yang menegaskan bahawa pemimpin mereka iaitu Abu Bakar al-Baghdadi beraliran Salafi. Maka, aliran akidah yang sama ini amat membimbangkan bakal melahirkan pelapis pengganas masa depan.

Menyerang ulama, meruntuhkan warisan

Salafiah Wahabiah juga terkenal dengan sikap suka menyesatkan ulama agung. Imam al-Ghazali, Imam al-Sanusi, Imam Nawawi, Imam Zakariyya al-Ansari dan ramai lagi menjadi sasaran tuduhan. Tidak cukup dengan itu, kitab-kitab karya ulama Nusantara seperti Hasyiah Dusuki, Syarah Jauharah Tauhid dan banyak lagi dianggap ‘tidak menepati tauhid sebenar’.

Ini adalah satu bentuk pencemaran warisan ilmu yang amat bahaya. Tanpa disedari, umat Islam yang selama ini tenang dengan kitab-kitab pondok mula berasa ragu terhadap ilmu sendiri, seolah-olah semua yang diamalkan selama ini salah belaka.

Mengapa fatwa ini perlu disambut baik

Ada yang mungkin bertanya, kenapa perlu fatwa sebegini keras? Jawapan mudah: kerana kerosakan yang dibawa aliran ini sudah mula menjalar ke akar masyarakat. Ia tidak lagi sekadar perbezaan pandangan, tetapi sudah sampai ke tahap menghukum, memecah dan menggugat kepercayaan terhadap institusi agama dan ulama tempatan.

Fatwa ini datang sebagai pelindung, bukan penindas. Ia bukan bertujuan menafikan ruang perbezaan ijtihad, tetapi meletakkan sempadan agar umat Islam tidak terus dimomokkan dengan fahaman yang menjurus kepada perpecahan.

Lebih penting lagi, fatwa ini menyeru agar umat Islam kembali kepada manhaj yang sederhana, bersumberkan ulama yang muktabar dan bersandarkan kesepakatan ummah, bukan kepada pendakwah yang muncul daripada media sosial dengan retorik keras dan emosi melampau.

Fatwa ini sebagai satu langkah mempertahankan akidah, menjaga kesatuan dan melindungi warisan keilmuan Islam di Nusantara. Semoga negeri lain juga tampil menyemak semula sejauh mana bahaya aliran ini telah meresap ke dalam masyarakat.

Sebagai umat Islam, kita mesti menyedari bahawa akidah bukan sekadar soal perbezaan pandangan – ia melibatkan identiti, kesatuan, dan masa depan umat. Apabila akidah mula digoncang, seluruh masyarakat akan retak.

Fatwa ini bukan tentang membenci, tetapi tentang menjaga dan dalam menjaga agama, kadangkala kita bersikap tegas walaupun tidak popular.

Penulis Pengurus Pusat Kajian Syariah Darul Fitri

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top