Langkah kiri Pearly-Thinaah di Bukit Jalil

Langkah kiri Pearly-Thinaah di Bukit Jalil

Pearly (kiri) dan Thinaah terpaksa akur tewas kepada pasangan Bulgaria dalam saingan pusingan pertama Terbuka Malaysia di Bukit Jalil pada Selasa. – Foto Facebook BAM

BEREGU badminton wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah memulakan kejohanan Terbuka Malaysia 2023 dengan langkah kiri apabila tumpas kepada pasangan adik-beradik dari Bulgaria, Gabriela dan Stefani Stoeva di Bukit Jalil, pada Selasa.

Dalam aksi yang berlangsung di Area Axiata tersebut, pasangan nombor enam dunia itu tewas ‘straight set’ 19-21, 14-21 dalam tempoh 31 minit.

Kekalahan itu perit untuk diterima Pearly-Thinaah biarpun pernah mencipta sejarah muncul beregu wanita pertama negara menjuarai saingan Terbuka Perancis, Oktober tahun lalu.

Malah pencapaian pada edisi kali ini lebih hambar berbanding kejohanan lalu apabila terkandas di pusingan kedua selepas tewas di tangan beregu China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu 19-21, 14-21.

Beraksi sengit pada set pertama, namun Pearly-Thinaah gagal menyaingi ketangkasan Gabriela dan Stefani yang menang 21-19 dalam siri Jelajah Dunia Super 1000 itu.

Biarpun berada di ranking ke-14 dunia, Gabriela dan Stefani yang merupakan juara Terbuka Switzerland tenang mencatat kemenangan pada set kedua dengan keputusan 21-14.

Kemenangan itu menebus kekecewaan Gabriela dan Stefani yang tewas kepada Pearly-Thinaah pada final Terbuka Switzerland 2021 dengan regu negara muncul juara.

Scroll to Top