Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa lawatan menteri serta semua anggota pentadbiran dan jabatan kerajaan ke luar negara akan dihadkan buat masa ini.
Usaha untuk berjimat dan berwaspada
Menerusi kenyataan beliau di sidang media khas hari ini, langkah tersebut dilaksanakan sebagai usaha untuk berjimat dan berwaspada susulan ketegangan yang terus memuncak di Asia Barat, yang kini mula memberi kesan terhadap ekonomi negara.
Hanya lawatan yang telah dijadualkan dan wajib dihadiri dibenarkan, bagi memastikan setiap perjalanan rasmi memberikan impak maksimum tanpa membebankan perbelanjaan kerajaan.
Selain itu, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa semua agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) tidak akan menganjurkan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Keputusan itu bertujuan memastikan perbelanjaan dilaksanakan secara cermat dan sederhana, sambil menghantar mesej tentang sikap berjimat dan bertanggungjawab dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Artikel lain: Semua agensi kerajaan, GLC, GLIC tidak akan anjurkan rumah terbuka Aidilfitri -PM Anwar
Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa langkah berwaspada ini penting bagi mengelakkan situasi yang lebih parah dan memastikan kerajaan mengekalkan keberkesanan pengurusan sumber negara.
Beliau menekankan bahawa fokus utama kini ialah mengekalkan ekonomi yang stabil dan memastikan semua pihak dalam pentadbiran kerajaan mematuhi garis panduan perbelanjaan, termasuk pengurangan aktiviti luar negara dan pembatalan acara besar seperti rumah terbuka Aidilfitri, demi kepentingan rakyat dan negara.
Sumber: Facebook Anwar Ibrahim




