Langkah pertama sangat penting – Cklamovski

Langkah pertama sangat penting – Cklamovski

sukan@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Walaupun di atas kertas laluan Harimau Malaya tampak mudah, mereka perlu berwaspada berdepan Nepal pada aksi pusingan ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam esok.

Berdasarkan ranking, Harimau Malaya di kedudukan ke-132 manakala Nepal (175), namun ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski enggan meletak kedudukan ranking sebagai ukuran dalam perlawanan itu.

Sebaliknya, pengendali dari Australia itu ingin memulakan aksi menentang skuad kendalian Matthew Ross dengan kemenangan memandangkan ia ujian pertama mengendali skuad Harimau Malaya dalam perlawanan berkompetitif.

“Ini langkah pertama yang sangat penting bagi kami. Kami mahukan persembahan baik, keputusan baik dan apabila tiba masanya nanti, kami benar-benar mahu berada di Piala Asia.

“Penting diingatkan kelayakan ke Piala Asia adalah matlamat jangka pendek kami dalam tempoh 12 bulan akan datang,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan menentang Nepal di bilik sidang media SSI, hari ini.

Cklamovski berkata, selain memahami konsep dan falsafah bola sepak yang diterapkan, pemain perlu membina mentaliti kemenangan dalam pasukan ini.

“Mentaliti kemenangan memerlukan konsistensi dalam apa yang kita lakukan.

“Kita telah melalui hari yang baik, tetapi kita perlu terus membina momentum itu.

“Jadi, dalam perlawanan esok, kita mahu mengambil langkah pertama dengan cara positif, menjadi pasukan kuat.

“Kemudian, kita perlu terus membina mentaliti sebagai satu pasukan untuk menetapkan diri kita sebagai antara yang terbaik,” ujarnya.

Memandangkan ia ujian pertamanya, Cklamovski tidak pernah merasa tekanan walaupun ada yang akan membandingkan prestasinya dengan ketua jurulatih terdahulu.

“Tekanan tidak ada dalam kamus hidup saya dan perlawanan menentang Nepal bukanlah tentang diri saya.

“Ini adalah tentang skuad Harimau Malaya yang dibentuk untuk menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia dengan corak permainan menghiburkan,” katanya.

Pada masa sama, Cklamovski memilih untuk tidak mendedahkan skuad 23 pemain yang akan disenaraikan pada perlawanan menentang Nepal.

Sebaliknya, dia menegaskan tiada pemain digugurkan, tetapi sekadar tidak disenaraikan dan mereka tetap berada bersama skuad kebangsaan.

Dia turut berahsia sama ada dua pemain warisan yang baharu menyertai skuad kebangsaan, Hector Hevel dan Gabriel Palmero akan diturunkan atau sebaliknya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top