Langkah Seremban provokasi gugat keharmonian – Jalaluddin

Langkah Seremban provokasi gugat keharmonian – Jalaluddin

am@hmetro.com.my

Jelebu: Selepas usaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan melalui Langkah Dubai yang didakwa gagal, timbul dakwaan ada gerakan mahu menjatuhkan Kerajaan Negeri Sembilan melalui Langkah Seremban.

Bagaimanapun Ketua Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias menyangkal dakwaan yang disifatkan sebagai provokasi menggugat keharmonian kerajaan negeri.

Katanya tidak wujud perbalahan diantara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO/Barisan Nasional (BN) dan ADUN daripada Pakatan Harapan (PH) ketika ini.

“Saya sebagai Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan serta bersama 13 ADUN lain untuk terus menyokong dan mengekalkan Datuk Seri Utama Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Kita komited secara bersama memberi tumpuan membangunkan ekonomi dan masyarakat di negeri ini dan ketika ini sudah wujud persefahaman yang cukup baik diantara kami (BN dan PH).

“Kita komited dan akan terus menyokong dan mengekalkan Aminuddin sebagai Menteri Besar, tidak timbul isu mengenainya lagi,” katanya.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu dan ADUN Pertang ditemui ketika melawat pembinaan Masjid Kariah Kampung Kerangai di sini, hari ini.

Ketika ini Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan diwakili 14 ADUN daripada BN, 17 PH dan lima daripada Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti mudah membentuk kerajaan adalah 19 kerusi.

Dalam perkembangan lain, Jalaluddin berharap Masjid Kariah Kampung Kerangai di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mula dibina pada Mac 2021 dapat digunakan bagi aktiviti keagamaan pada 1 Ramadan tahun ini.

Katanya masjid yang dibina dengan kos berjumlah RM2.8 juta mengalami kelewatan untuk disiapkan disebabkan beberapa faktor seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerja meroboh masjid lama, kerja membabitkan struktur tanah dan cuaca.

Sementara itu, bagi isu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Pertang yang belum beroperasi biarpun pembinaan sudah siap sejak tiga tahun lalu, Jalaluddin menegaskan sekolah berkenaan akan dibuka pada sesi baharu penggal persekolahan 2024/2025, Mac ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top