Langsir miliki aura serikan kediaman

Langsir miliki aura serikan kediaman

asmaini@mediaprima.com.my

Langsir antara keperluan utama sesebuah kediaman.

Selain untuk menjaga privasi, langsir juga membantu menghalang haba dan cahaya masuk ke rumah selain membantu memerangkap habuk.

Begitupun, membeli langsir bukan hanya sekadar cantik pada pandangan, jangan juga tersilap membuat pilihan.

Contoh, pemilik kediaman perlu memilih langsir daripada fabrik yang sesuai dengan iklim.

Ia penting kerana sebagai negara tropika, Malaysia mengalami cuaca panas hampir sepanjang tahun.

Pilih material yang ringan dan ‘mudah bernafas’ seperti organza, kapas, poliester atau voile.

Bahan-bahan ini bukan saja dapat memberikan kesan elegan, malah menjaga ruangan supaya tetap sejuk dan selesa.

Elakkan fabrik tebal yang boleh menyebabkan ruang di dalam rumah menjadi lebih panas.

Selain itu, pemilihan warna langsir juga memainkan peranan penting dalam mencipta suasana yang diinginkan.

Warna yang sesuai boleh menyerlahkan lagi tema dekorasi di sesebuah ruang dalam kediaman.

Warna-warna seperti emas, perak, biru laut, hijau zamrud, atau merah hati misalnya memberi kesan mewah dan ceria.

Jika anda menggemari gaya dekorasi minimalis, pilihlah langsir daripada warna neutral seperti putih, krim, atau kelabu dengan sedikit sentuhan rona emas atau perak.

Bagi rekaan pula, pilihan langsir yang terlalu meriah, beropol-ropol dan rumit boleh mengalihkan perhatian dari elemen dekorasi lain.

Sebaiknya pilih rekaan yang ringkas namun masih nampak elegan dan minimalis.

Sementara itu, ramai pemilik rumah gemar meletakkan rod langsir di atas bingkai tingkap.

Kedudukan itu kurang bagus sebenarnya kerana ia memberi kesan visual yang kurang menarik kepada ruangan di kediaman anda.

Ia juga boleh menyebabkan siling rumah anda kelihatan lebih rendah dan menjadikan ruangan itu kelihatan sempit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top