'Lantai reput, bumbung bocor tapi kami tiada pilihan'

'Lantai reput, bumbung bocor tapi kami tiada pilihan'

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Memiliki rumah sendiri yang lebih selesa untuk anak-anak semestinya menjadi impian setiap ibu bapa, namun bagi pasangan di Kampung Pantai Kundur, di sini, mereka hanya mampu bersyukur dengan rumah kecil tanpa bilik untuk berteduh.

Zainurdin Ismail, 49, berkata, rumah yang didiaminya terletak kurang dua meter dari laut dan setiap kali angin kencang serta ombak besar melanda, keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka sekeluarga, khususnya anak-anak yang masih kecil.

Katanya, setiap kali hujan, bumbung rumah banyak yang bocor dan apabila angin kencang pula, mereka sangat takut kerana kedudukan yang betul-betul di tepi laut.

Malah pernah juga ombak besar melepasi benteng sehingga menghentam dinding rumah.

“Kebimbangan saya terhadap situasi ini berasas kerana masih trauma dengan kejadian 10 tahun lalu yang menyebabkan beberapa rumah penduduk kampung musnah ‘ditelan’ ombak.

“Malah keadaan lantai rumah yang didiami juga sudah reput selain tidak mempunyai bilik yang sempurna dan saya terpaksa menggunakan kayu terbuang untuk membina ruang kecil bagi anak-anak tidur.

“Disebabkan kedaifan hidup, kami sekeluarga tetap mendiami rumah pusaka milik ibu mentua kerana tiada pilihan lain serta tidak mempunyai mampu menyewa,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Pertubuhan Prihatin Anak Kelantan, Mohamad Ezzat Zahrim Mohd Hanuzi menyantuni keluarga berkenaan dan menyampaikan sumbangan keperluan asas seperti tilam, tikar serta bantal dalam Program Ihya Ramadan, baru-baru ini.

Selain itu, Pengarah Komunikasi dan Multimedia Alkhatiri Group, Muhammad Atiq Fitri Mustafa Apipi turut menyampaikan juadah sahur manakala Pengarah Urusan Pengedar Bahagian Proton, Mohd Khairul Hakimi Mohd Nawi menyerahkan sumbangan bakul barangan keperluan asas bagi meringankan beban ditanggung.

Zainurdin yang juga bapa kepada anak berusia antara tiga bulan hingga 13 tahun berkata, dia yang menghidap penyakit gout hanya mampu melakukan kerja-kerja kampung untuk menyara keluarga dengan pendapatan sekitar RM700 hingga RM800 sebulan dan ia sekadar cukup membeli makanan ala kadar mengikut kemampuan.

“Bagi menambah pendapatan keluarga, isteri saya, Suhaiza Mat Zain, 39, mengambil upah melakukan kerja mencanting batik dan memperoleh sekitar RM20 hingga RM30 sehari bergantung kepada cantingan yang mampu dilakukan,” katanya.

Katanya, dia sangat berbesar hati sekiranya ada pihak yang tampil menghulurkan bantuan agar kediaman kecil itu dapat dibaik pulih supaya lebih selesa dan selamat didiami.

“Pendapatan yang tidak menentu menyukarkan saya melakukan kerja-kerja pembaikan rumah dan hanya mampu buat tampalan sementara,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Ezzat Zahrim berkata, dia akan berusaha sedaya-upaya untuk membantu meringankan beban keluarga berkenaan.

“Pada masa sama, saya juga menyeru kepada semua sahabat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar terus menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan tanpa mengira bangsa atau latar belakang,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Zainurdin Ismail di talian 011-19923112.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top