sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelantikan jurulatih luar dilihat sebagai langkah tepat buat Harimau Malaya sekiranya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu meletakkan sasaran lebih tinggi daripada sekadar bersaing di peringkat ASEAN.
Pemerhati bola sepak, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, kepakaran, disiplin dan pendekatan latihan berintensiti tinggi yang dibawa jurulatih asing mampu membantu meningkatkan tahap permainan skuad kebangsaan untuk menghadapi cabaran lebih besar di pentas Asia.
Beliau berkata, jurulatih luar lazimnya turut membawa pengetahuan sains sukan serta corak permainan lebih fizikal dan agresif, selain berpeluang bekerja dengan autonomi lebih luas dalam membentuk pasukan mengikut perancangan mereka.
“Kalau kita mahu meletakkan penanda aras lebih tinggi, kita perlu berani melihat ke luar. Jika sasaran kita hanya untuk bersaing di ASEAN, mungkin tidak perlu mendapatkan jurulatih asing. Tetapi kalau mahu pergi lebih jauh, kita perlu mempertimbangkan kepakaran yang boleh membawa perubahan,” katanya ketika dihubungi.
Pekan berkata, jurulatih tempatan juga mempunyai kemampuan tersendiri, namun mereka kadangkala berdepan tekanan daripada ekosistem bola sepak, termasuk campur tangan pihak luar dan kekangan dalam membuat keputusan berkaitan pasukan.
Menurutnya, keadaan itu boleh menjejaskan usaha jurulatih melaksanakan perancangan jangka panjang, malah mereka turut berdepan risiko dipersalahkan apabila keputusan tidak memihak kepada pasukan.
Sebaliknya, pelantikan jurulatih asing sering disertai pemberian autonomi lebih besar dan peruntukan yang lebih tinggi untuk membentuk pasukan, selaras dengan harapan terhadap pencapaian yang lebih baik.
“Jurulatih tempatan kadangkala berdepan tekanan dan campur tangan daripada pihak pengurusan. Ada masanya mereka juga menjadi kambing hitam apabila pasukan gagal mencapai keputusan yang diharapkan.
“Apabila kita mengambil jurulatih luar, biasanya kita memberikan mereka autonomi lebih luas dan bajet yang mungkin lebih besar kerana kita meletakkan penanda aras lebih tinggi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




