Lantik Thaksin: Terserah Anwar, masih ramai lagi layak – Dr Mahathir

Lantik Thaksin: Terserah Anwar, masih ramai lagi layak – Dr Mahathir

PUTRAJAYA: Pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai angota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 adalah hak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun menyifatkan masih ramai lagi individu lain atau tokoh pemimpin yang layak dilantik selain Thaksin.

Menurutnya, bekas Perdana Menteri Thailand itu mempunyai banyak ‘masalah’ ketika menjawat jawatan berkenaan.

“Saya tak tahulah apa sebabnya dia (Anwar) nak pilih, kita banyak ada orang lain.

“Thaksin pun ada masalah tak tahu lah itu. Saya tak nak tegur lah mereka itu, hak Anwar nak pilih siapa,” katanya ketika ditemui selepas melepaskan konvoi misi bantuan pasca banjir Kedah dan Perlis, di sini hari ini.

Anwar semalam mengumumkan pelantikan Thaksin sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Anwar berkata, pelantikan itu bagi membolehkan tokoh pemimpin itu berkongsi kepakaran serta idea kepada Pengerusi ASEAN berkenaan isu-isu ASEAN dan serantau.

Thaksin sebelum ini dikaitkan dengan pelbagai isu membabitkan politik dan undang-undang, malah telah digulingkan melalui rampasan kuasa tentera pada tahun 2006 atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Selepas disabitkan kesalahan pada tahun 2008, beliau melarikan diri ke luar negara untuk mengelak hukuman penjara.

Pada Ogos 2023, Thaksin kembali ke Thailand selepas 15 tahun dalam buangan, ditahan, dan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun, namun kemudian menerima pengampunan diraja yang mengurangkan hukumannya kepada setahun.

Kes ini mencetuskan ketegangan politik yang mendalam di Thailand, membahagikan negara kepada penyokong dan penentangnya, dengan partinya terus berpengaruh dalam politik Thailand hingga kini.-UTUSAN

Scroll to Top