Lantikan khalifah melalui syura, bukan nepotisme

Lantikan khalifah melalui syura, bukan nepotisme

– Advertisement –

ARAU: Pelantikan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq RA selepas kewafatan Rasulullah SAW menekankan kepentingan proses syura dalam Islam, sekali gus menolak amalan kronisme dan nepotisme.

– Advertisement –

Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Arau, Ustazah Nadiyah Hashim berkata, pelantikan Abu Bakar RA sebagai khalifah dilakukan melalui musyawarah yang melibatkan para Sahabat.

“Saidina Umar al-Khattab RA sendiri menolak pencalonannya kerana menganggap iman Abu Bakar RA lebih tinggi berbanding Sahabat-sahabat lain pada waktu itu.

“Tidak timbul soal peralihan kuasa secara kronisme tanpa syura dan alasan yang kuat,” tegas Ustazah Nadiyah.

Dalam Islam ujarnya, nepotisme dan kronisme iaitu pemberian jawatan atau keistimewaan kepada saudara-mara atau rakan tanpa mengira kelayakan dianggap sebagai perbuatan yang tidak adil dan haram.

“Perbuatan ini boleh merosakkan tatanan sosial dan melemahkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi atau kepimpinan,” katanya lagi.

Oleh itu, pelantikan pemimpin dalam Islam harus berdasarkan kelayakan dan musyawarah, bukan hubungan peribadi.

“Tuduhan bahawa Rasulullah SAW mengamalkan nepotisme dan kronisme adalah tidak berasas dan merupakan fitnah terhadap peribadi baginda.

“Baginda sentiasa mengutamakan keadilan, kelayakan, dan syura dalam setiap keputusan yang melibatkan kepentingan umat.

“Pelantikan Abu Bakar As-Siddiq RA sebagai khalifah pertama selepas kewafatan Rasulullah SAW adalah hasil daripada proses musyawarah yang melibatkan kaum Muhajirin dan Ansar,” tambahnya.

Katanya, setelah perbincangan dan perdebatan di Saqifah Bani Sa’idah, Umar bin al-Khattab RA mencadangkan Abu Bakar RA sebagai khalifah, dan cadangan ini diterima oleh semua yang hadir.

“Ini menunjukkan bahawa dalam tradisi Islam, pelantikan pemimpin dilakukan melalui proses syura yang menekankan keadilan dan kelayakan, serta menolak amalan kronisme dan nepotisme,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 17/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Scroll to Top