mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Perlantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah keperluan luar jangka yang amat kritikal dalam memastikan kesinambungan agenda pencegahan rasuah negara.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, dalam suasana semasa yang memperlihatkan isu rasuah semakin mencabar dan bersifat kompleks, kesinambungan kepimpinan di SPRM amat penting untuk mengekalkan momentum siasatan, pendakwaan serta pembudayaan integriti dalam sektor awam dan swasta.
“MCW juga berpandangan bahawa lanjutan tempoh ini membuka ruang penting bagi usaha mewariskan kepimpinan SPRM kepada pelapis masa depan.
“Ia membolehkan tokoh pengganti kelak menimba pengalaman secara langsung, mempelajari selok-belok pengurusan krisis integriti serta memahami tekanan dalaman dan luaran yang datang bersama tanggungjawab besar memimpin agensi penguatkuasaan rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MCW menyokong sepenuhnya pendekatan ini dan percaya bahawa proses peralihan yang terancang akan dapat memperkukuh institusi SPRM secara menyeluruh.
“Kami menyeru SPRM terus diperkasa dengan sokongan dasar yang tuntas, reformasi pentadbiran yang menyeluruh dan pendekatan strategik berasaskan prinsip integriti, ketelusan serta akauntabiliti,” katanya.
Azam dilantik semula bagi tempoh 13 Mei ini hingga 12 Mei 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd



