sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) kini mengenal pasti lapan jenis sukan yang dilihat mempunyai potensi besar dan program itu akan dimohon untuk berada di dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Timbalan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, pihaknya dalam usaha untuk menganalisis lebih terperinci mengenai program yang bakal diadakan bagi memberi impak kepada sukan berkenaan menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) nanti.
Antara sukan yang berada di dalam radar MSN adalah badminton, skuasy, olahraga, terjun, renang, taekwondo, berbasikal, dan memanah.
“Banyak perkara yang sudah dibincangkan dalam bengkel RMK-13 di Ipoh baru-baru ini dan kami sedang menganalisis program dan projek baharu selain fokus utama adalah untuk mempersiapkan atlet untuk ke LA28.
“Ini akan menjadi agenda utama untuk permohonan kami dalam RMK-13 bagi mengukuhkan lapan sukan itu sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan dan ia akan bermula dari akar umbi hingga ke peringkat atas.
“Program Podium, Bakat dan Program Sokongan juga akan diperkukuhkan dan kami akan memohon dana tambahan untuk melahirkan lebih banyak atlet bertaraf dunia melalui program ini,” katanya.
Selain itu, MSN juga sudah mendapatkan maklum balas dari beberapa jenis sukan baharu seperti luncur ombak, papan selaju dan memanjat dinding.
“Kami sudah bertemu wakil dari sukan papan selaju minggu lepas dan mereka nampaknya mempunyai atlet yang terbaik dan akan berlatih serta bertanding di Jepun sementara luncur ombak dan memanjat dinding, kita akan bertemu Isnin ini.
“Kami harap mereka dapat mengemukakan idea kepada kami mengenai apa yang perlu dilakukan untuk layak ke LA28. Mereka nampaknya mempunyai atlet yang baik tetapi tidak dikenali. Mungkin kerana ia bukan sukan utama dan kami akan mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai mereka dan sukan berkenaan.
“Dalam perbincangan itu, kami ingin memberitahu bahawa kita memerlukan atlet yang mempunyai potensi besar dan boleh terus layak ke LA28 selain membangunkan lebih ramai atlet untuk temasya-temasya akan datang. Tiga sukan ini sudah dipertandingkan di Tokyo 2020 dan Paris 2024 dan akan dipertandingkan di LA28 dan Brisbane 2032,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



