Lapan kanak-kanak dijangkiti Tibi dirawat di HUS

Lapan kanak-kanak dijangkiti Tibi dirawat di HUS

mdroji@bh.com.my

Kuching: Seramai lapan kanak-kanak kini masih ditempatkan di Wad Kanak-Kanak Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi menjalani pemeriksaan lanjut berkaitan penyakit tibi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, proses pemeriksaan itu memerlukan tempoh masa tertentu kerana pemantauan rapi perlu dilakukan bagi memastikan kesemua kanak-kanak benar-benar bebas daripada jangkitan berkenaan.

Beliau berkata, Perintah Sementara hanya akan dikeluarkan selepas semua kanak-kanak dibenarkan discaj dari hospital, selewat-lewatnya pada penghujung April 2026.

“Daripada jumlah itu, dua kanak-kanak lelaki berusia 15 dan 11 tahun akan ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol di Sri Aman, manakala lima kanak-kanak berusia bawah 10 tahun bersama seorang bayi perempuan berusia kira-kira tiga bulan akan ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah di Kuching.

“Enam daripada kanak-kanak berkenaan mempunyai sijil lahir, manakala dua lagi tidak memilikinya disebabkan kekangan kewangan dan pengangkutan oleh ibu kandung,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sinergi Kasih Wanita: Memperkasa Akar Umbi (Sektor Ketiga) anjuran Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) di sini, hari ini.

Menurutnya, pihak berkaitan kini sedang membantu serta membimbing ibu bapa dalam proses pendaftaran sijil lahir bagi kedua-dua kanak-kanak terbabit.

Dalam perkembangan sama katanya, enam orang dewasa yang terdiri daripada ibu bapa kandung dan ahli keluarga turut masih dirawat di wad bagi tujuan pemeriksaan serta pemantauan lanjut penyakit tibi.

“Selepas discaj nanti, ahli keluarga dewasa akan ditempatkan sementara di Anjung Singgah di Kuching sebelum dipindahkan ke bilik sewaan mampu milik.

“Tabung Bantuan Segera turut akan disalurkan bagi membantu bayaran deposit sewaan,” katanya.

Menurutnya lagi, cadangan bantuan kewangan lanjut akan dipertimbangkan selepas mereka mempunyai alamat tempat tinggal tetap.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top