Lapan nyawa korban lubuk berpusar Air Terjun Lubuk Kain

Lapan nyawa korban lubuk berpusar Air Terjun Lubuk Kain

am@hmetro.com.my

Dungun: Lapan nyawa sudah menjadi korban dalam kejadian lemas di Air Terjun Lubuk Kain, Kampung Syukur, di sini, sejak kawasan perkelahan itu mula dikenali pengunjung pada 2016.

Kesemua kejadian lemas itu berlaku di tingkat tiga air terjun berkenaan yang digelar penduduk sebagai lubuk berpusar.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah berkata, lapan mangsa yang terkorban itu membabitkan empat pelajar kolej dan masing-masing dua pelajar serta dua lelaki dewasa.

Menurutnya, sejak mula dikenali pengunjung, seramai tiga mangsa menjadi korban di kawasan rekreasi itu pada 2016.

“Pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa dengan meletakkan papan tanda amaran bahaya serta usaha penduduk yang mengadakan solat hajat bagi mengelak kejadian itu kembali berulang.

“Bagaimanapun, pada Ogos 2018, kejadian lemas kembali berulang apabila dua pelajar masing-masing berusia 16 tahun lemas sebelum seorang lagi lelaki dewasa warga Thailand, turut lemas ketika berkelah bersama majikannya,” katanya.

Baharuddin berkata, kejadian terbaru berlaku pada Jumaat lalu yang mengorbankan dua pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kemaman, masing-masing berusia 19 tahun.

“Berikutan itu, pihak polis bersama bomba mengambil tindakan awal dengan memasang tali amaran di kawasan tingkat tiga itu bagi mengelak orang ramai masuk dan mandi di situ.

“Kita minta pengunjung sentiasa berwaspada ketika mandi di situ dan kita sarankan pengunjung mandi dan berkelah di tingkat satu dan dua yang cetek dan tidak bahaya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) Zul Husni Abdul Rahman berkata, tingkat tiga air terjun terbabit jarang dikunjungi pengunjung kerana kawasan berkenaan berpusar serta airnya sangat dalam.

“Untuk sampai ke tingkat tiga ini, orang ramai perlu mendaki denai yang agak tinggi dan mengambil masa selama 15 minit untuk tiba di situ.

“Bagaimanapun, kita dapati orang ramai lebih gemar mandi di tingkat satu dan dua yang airnya cetek dan tidak berbahaya terutamanya kepada kanak-kanak,” katanya

Katanya, pihaknya bersama polis dan penduduk kampung mengambil tindakan memasang tali amaran serta mengedarkan risalah keselamatan kepada pengunjung supaya mengutamakan aspek keselamatan ketika mandi di situ.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top