hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lapan restoran yang gagal menjaga kebersihan premis diarahkan tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Operasi Penguatkuasaan Malam (OPM) di sekitar ibu kota.
DBKL dalam kenyataan di Facebook memaklumkan operasi itu membabitkan pemeriksaan ke atas 30 premis di Taman Maluri, Jalan Raja Bot, Jalan Hj Hussein, Kampung Bharu dan Jalan Datuk Keramat.
“Selain itu, sebanyak 16 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, antaranya pemilik atau pekerja gagal mendapatkan suntikan tifoid dan menghadiri kursus pengendali makanan, perangkap minyak tidak dipasang dan tidak diselenggara di bawah sinki.
“Terdapat urungan najis tikus dan lipas di dapur atau rak penyimpanan makanan, lantai dan dinding di ruang dapur kotor serta terdapat sisa makanan, meletakkan kerusi meja di kaki lima dan tiada lesen perniagaan premis,” katanya di sini, hari ini.
Kenyataan itu berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan seumpama itu daripada semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi kehendak kesihatan yang ditetapkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd