am@hmetro.com.my
Georgetown: Lapan lelaki mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan tiga anggota anggota polis di hadapan sebuah flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Sungai Pinang, di sini, Khamis lalu.
Tertuduh, Noor Nizar Shah Zainol Abidin, 37; Muhammad Syafiq Mohd Nordin, 28; Azwandy Azmi, 38; Muhamad Aiqal Zulkifrey, 28; Muhammad FirdausAbdul Malik, 34; Muhammad Razin Abdul Muthalib, 34; Muhammad Syazwan Mohd Omar, 30; dan Low Jia Hui, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret, Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa secara bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Lans Koperal Uvaneand Subramaniam, Konstabel Muhammad Danial Danish Azlan dan Lans Koperal Muhammad Amzaruddin Fakhri semasa anggota polis berkenaan melaksanakan tugas mereka sebagai penjawat awam yang sah.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan flat PPR Jalan Sungai, Sungai Pinang di Daerah Timur Laut kira-kira jam 9.50 malam pada 25 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 149 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, S Meharaj.
Semasa prosiding Siti Marissa menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Namun, Meharaj memohon kadar jaminan paling minimum dan memaklumkan kesemua anak guamnya hanya pekerja biasa dan perlu menanggung keluarga masing-masing selain kesemua mereka kecuali Muhammad Syafiq sudah berkahwin dan mempunyai anak.
“Noor Nizar Shah dan Muhammad Syafiq bekerja sebagai peniaga, Azwandy bekerja kilang, Muhamad Aiqal (kerani bengkel), Muhammad Firdaus (mekanik), Muhammad Razin dan Muhammad Syazwan adalah penghantar barang manakala Low Jia Hui bekerja sebagai tukang masak.
“Memandangkan jaminan bertujuan memastikan kehadiran ke mahkamah bukan bertujuan menghukum dan jumlah ditawarkan agak tinggi mengambil kira faktor ekonomi dipohon agar mahkamah menawarkan jaminan paling minimum. Kesemua tertuduh juga memberi kerjasama baik kepada polis sepanjang mereka ditahan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 19 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Media sebelum ini melaporkan lapan lelaki tempatan direman selepas disyaki menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam satu kejadian di PPR Jalan Sungai Sungai Pinang, pada 25 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati empat anggota polis sedang mengejar seorang individu mencurigakan yang melarikan diri ke arah flat PPR itu sebelum tercetus perselisihan faham dengan beberapa orang awam.
Sebelum itu, pusat kawalan daerah menerima permintaan bantuan daripada anggota polis berkenaan yang dilaporkan berdepan kesukaran ketika menjalankan tugas penguatkuasaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




