
Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala Rajapaksa. Foto: Agensi
COLOMBO – Kerajaan Sri Lanka kini mencari pelabur baharu bagi menghidupkan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala Rajapaksa yang terus mencatat kerugian sejak mula beroperasi pada 2013.
Langkah itu dibuat selepas rancangan pajakan selama 30 tahun kepada usaha sama India-Rusia gagal direalisasikan, sekali gus memaksa kerajaan membuka semula peluang pelaburan kepada pihak luar.
Lapangan terbang yang dibina menggunakan pinjaman dari China itu dilaporkan tidak mempunyai penerbangan komersial tetap dan gagal menjana pendapatan mencukupi, malah tidak mampu menampung kos asas seperti bil elektrik.
Kerajaan menyifatkan kemudahan itu masih mempunyai ‘potensi belum diterokai’, khususnya dalam sektor pelancongan eksotik dan pelaburan strategik, meskipun prestasi semasanya terus membebankan kewangan negara.
Projek berkenaan dikaitkan dengan era bekas presiden Mahinda Rajapaksa yang sebelum ini melaksanakan pelbagai projek infrastruktur berskala besar menggunakan pinjaman luar, namun sebahagiannya gagal dari segi komersial.
Beban hutang kepada China turut dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan besar negara itu pada 2022, sehingga memaksa Sri Lanka gagal membayar hutang luar berjumlah kira-kira AS$46 bilion (RM181 bilion).
Sejak menerima bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), kerajaan berusaha menswastakan beberapa aset milik negara yang tidak menguntungkan, namun setakat ini belum menunjukkan hasil ketara.
Selain kekangan kewangan, lokasi lapangan terbang berhampiran laluan migrasi burung turut menimbulkan risiko keselamatan, dengan beberapa insiden pelanggaran burung dilaporkan.
Malah, pihak tentera pernah dikerahkan bagi menghalau haiwan liar seperti gajah dan kerbau dari kawasan landasan.
Walaupun digunakan sebagai lapangan terbang alternatif kepada ibu negara Colombo, operasi terhad melibatkan kargo dan penerbangan sewaan masih gagal menjana pendapatan mencukupi untuk menampung kos penyelenggaraan.
Situasi ini mengukuhkan lagi persepsi terhadap projek berkenaan sebagai “gajah putih”, selain mencetuskan perdebatan lebih luas mengenai keberkesanan pembiayaan infrastruktur melalui pinjaman luar serta risiko geopolitik yang terlibat. – Agensi


