DUBAI – Beberapa negara Teluk pada Ahad melaporkan serangan peluru berpandu dan dron baharu ketika Iran berikrar untuk meneruskan serangan ke atas negara jiran apabila perang serantau memasuki minggu kedua.
Arab Saudi, Qatar dan Kuwait masing-masing melaporkan serangan terbaharu selepas letupan kuat kedengaran di Dubai dan Manama sehari sebelumnya.
Syarikat minyak nasional Kuwait mengumumkan pengurangan pengeluaran minyak mentah secara ‘langkah berjaga-jaga’, manakala tentera negara itu berkata, mereka bertindak balas terhadap ‘gelombang dron musuh yang menceroboh ruang udara negara’.
Tentera Kuwait berkata, tangki bahan api di lapangan terbang antarabangsa negara itu menjadi sasaran dalam serangan dron yang disifatkan sebagai ‘serangan langsung terhadap infrastruktur penting’.
Dalam kenyataan berasingan, pihak berkuasa berkata, beberapa kemudahan awam mengalami kerosakan akibat serpihan daripada operasi pemintasan.
Kementerian Pertahanan Qatar pula memaklumkan negara itu disasarkan sehari sebelumnya oleh 10 peluru berpandu balistik dan dua peluru berpandu kruis yang dilancarkan dari Iran, namun kebanyakannya berjaya dipintas dan tidak menyebabkan sebarang korban.
Kementerian Pertahanan Arab Saudi turut melaporkan bahawa pihaknya berjaya memintas dan memusnahkan 15 dron yang memasuki ruang udara negara itu, termasuk cubaan serangan di kawasan diplomatik di ibu negara, Riyadh.
Serangan tersebut berlaku walaupun Presiden Iran sebelum ini memohon maaf kepada negara-negara Teluk susulan serangan terdahulu dan menyatakan negara tersebut tidak lagi akan disasarkan kecuali jika serangan dilancarkan dari wilayah mereka terlebih dahulu.
Namun beberapa jam kemudian, ketua badan kehakiman Iran berkata serangan akan diteruskan terhadap lokasi di negara Teluk yang ‘digunakan oleh pihak musuh’.
Presiden Emeriah Arab Bersatu, Mohammed bin Zayed Al Nahyan, dalam ucapan televisyen jarang dibuat berkata, negara itu kini berada dalam ‘tempoh peperangan’ dan akan ‘muncul lebih kuat’ daripadanya.
Pihak berkuasa Dubai berkata, seorang warga Pakistan terbunuh akibat serpihan daripada operasi pemintasan di udara.
Lapangan terbang Dubai
Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai yang merupakan antara lapangan terbang paling sibuk di dunia bagi trafik antarabangsa ditutup sementara pada Sabtu selepas pihak berkuasa memaklumkan sebuah objek tidak dikenali dipintas berhampiran kawasan tersebut.
Seorang saksi memberitahu AFP bahawa satu letupan kuat kedengaran di kawasan itu diikuti kepulan asap tebal.
Rakaman yang disahkan AFP turut menunjukkan bunyi dron diikuti letupan kuat serta asap berhampiran kawasan terminal lapangan terbang.
Kerajaan berkata berlaku ‘insiden kecil akibat serpihan yang jatuh selepas pemintasan’, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Laman penjejakan penerbangan menunjukkan beberapa pesawat berlegar di ruang udara lapangan terbang dalam keadaan menunggu sebelum mendarat.
Syarikat penerbangan utama rantau itu, Emirates pada mulanya mengumumkan penggantungan semua penerbangan ke dan dari Dubai sebelum memaklumkan operasi telah disambung semula.
Emiriah Arab Bersatu, sekutu Amerika Syarikat yang turut menempatkan pangkalan tentera Amerika dilaporkan menjadi negara Teluk yang paling kerap disasarkan sepanjang konflik ini.
Kementerian pertahanan negara itu berkata sebanyak 221 peluru berpandu balistik dikesan sejak perang bermula pada 28 Februari, manakala jumlah dron yang dilancarkan melebihi 1,300 unit.
Serangan Iran sebelum ini dilaporkan mengenai Lapangan Terbang Abu Dhabi, kawasan pembangunan mewah Palm Jumeirah serta hotel Burj Al Arab, manakala serpihan dron turut mencetuskan kebakaran di konsulat Amerika Syarikat di Dubai.
Serangan ke pangkalan Saudi
Di Bahrain, pihak berkuasa berkata mereka telah memintas 92 peluru berpandu dan 151 dron sejak permulaan konflik yang disifatkan sebagai ‘pencerobohan Iran’.
Wartawan AFP turut melaporkan satu letupan kedengaran pada malam Sabtu di Manama selepas pihak berkuasa berkata’, seorang individu cedera akibat serpihan roket yang jatuh di jalan raya.
Di Arab Saudi, kementerian pertahanan berkata, pihaknya memusnahkan tiga peluru berpandu balistik yang menuju ke pangkalan udara Sultan yang menempatkan tentera Amerika Syarikat, selain 17 dron di kawasan medan minyak Shaybah di tenggara negara itu.-AFP
Ringkasan AI
- Beberapa negara Teluk melaporkan serangan peluru berpandu dan dron dari Iran
- Kuwait mengurangkan pengeluaran minyak sebagai langkah berjaga-jaga akibat serangan
- Qatar dan Arab Saudi berjaya memintas kebanyakan serangan peluru berpandu dan dron
- Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai ditutup sementara disebabkan oleh objek tidak dikenali
- Emiriah Arab Bersatu menjadi sasaran paling kerap dalam konflik dengan Iran, dengan 221 peluru berpandu balistik dan lebih dari 1,300 dron dilancarkan



