Lapar dalam diam: Ratapan kanak-kanak Gaza di tengah-tengah sekatan Israel

Lapar dalam diam: Ratapan kanak-kanak Gaza di tengah-tengah sekatan Israel

GAZA CITY – Di sebuah kawasan kejiranan yang musnah di Gaza, di celah runtuhan yang menghitam dan dinding yang menampakkan langit, sekumpulan kanak-kanak berdiri menggeletar kelaparan pada Selasa, merayu makanan dan ubat-ubatan yang telah disekat Israel selama dua bulan dalam serangan genosid yang berlarutan sejak 19 bulan lalu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dengan mata yang tenggelam, muka pucat dan tanda-tanda kekurangan zat yang ketara – sebahagiannya hampir tidak mampu berdiri – mereka berhimpun bagi mengingatkan dunia tentang penderitaan yang dialami.

Dalam acara anjuran kumpulan sukarelawan Four Friends di Khan Younis, kanak-kanak itu mengangkat tangan sambil memegang sepanduk bertulis ‘Cukup Pembunuhan’, ‘Buka Laluan Masuk’, ‘Kami Lapar’, dan ‘Selamatkan Kami’.

Berbeza dengan 24 perhimpunan sebelum ini, acara ke-25 itu merupakan rintihan bersama kanak-kanak yang berdepan kebuluran.

Pejabat Media Kerajaan Gaza pada Isnin melaporkan bahawa penutupan lintasan sempadan oleh Israel sejak dua bulan lalu menyebabkan keadaan kesihatan merosot teruk, dengan kes kekurangan zat makanan yang meluas, khususnya dalam kalangan bayi.

Lebih sejuta kanak-kanak berdepan kelaparan setiap hari dan 65,000 telah dimasukkan ke hospital yang masih beroperasi akibat kekurangan zat makanan yang serius.

“Kami merayu supaya lintasan dibuka. Kami menderita kelaparan dan dibom,” kata Rama Abu al-Aynayn, 11, kepada Anadolu dengan suara tersekat-sekat menahan lapar dan ketakutan.

“Kebanyakan yang terbunuh akibat serangan udara adalah kanak-kanak. Cukuplah. Sudah dua bulan kami kelaparan, tiada keselamatan, tiada pendidikan,” katanya.

Sejak 2 Mac, Israel telah menutup semua lintasan masuk ke Gaza, menghalang kemasukan makanan, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan seperti yang dilaporkan oleh kerajaan tempatan, pertubuhan hak asasi dan agensi antarabangsa.

Ketua Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata pada Jumaat bahawa ‘kanak-kanak di Gaza sedang kebuluran.’

“Kerajaan Israel terus menyekat kemasukan makanan dan barangan asas. Ini kebuluran buatan manusia yang didorong motif politik. Hampir dua bulan dikepung,” katanya menerusi platform X.

Wakil kumpulan Four Friends, Rasmi Abu al-Aynayn yang berada bersama kanak-kanak itu menyifatkan kelaparan kini setara dengan kemusnahan akibat serangan udara.

“Ini acara kami yang ke-25, tetapi paling menyedihkan. Kanak-kanak kami tiada makanan, ubat atau tempat berlindung yang selamat,” katanya. “(Tentera) pendudukan menyekat bantuan, pasar kosong, dan kelaparan membunuh sama seperti bom. Israel menggunakan kelaparan sebagai senjata terhadap rakyat kami,” katanya kepada Anadolu.

“Sejak 2 Mac, tiada makanan atau bantuan perubatan dibenarkan masuk ke Gaza. Anak-anak kami mati di depan mata. Di mana hati nurani kemanusiaan?” soalnya.

Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengumumkan pada Jumaat bahawa stok makanan mereka di Gaza telah habis sepenuhnya akibat sekatan Israel.

Utusan Khas Palestin ke PBB, Riyad Mansour menuduh Israel menggunakan kelaparan sebagai senjata terhadap orang awam di Gaza sambil menggesa gencatan senjata segera dalam sesi Majlis Keselamatan PBB.

Mesir pula menuduh Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Isnin kerana menjadikan kelaparan sebagai senjata terhadap orang awam Gaza dan menuntut agar sekatan ditamatkan serta-merta dan tanpa syarat.

ICJ di The Hague memulakan pendengaran selama seminggu berhubung tanggungjawab kemanusiaan Israel terhadap rakyat Palestin, susulan hampir dua bulan sekatan menyeluruh yang menghentikan kemasukan bantuan ke Gaza.

Seramai 2.4 juta penduduk Gaza bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan yang telah terputus sejak lintasan Kerem Shalom, Zikim dan Erez ditutup oleh Israel pada 2 Mac.

Tentera Israel memperbaharui serangan ke atas Gaza pada 18 Mac, sekali gus menamatkan gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan yang dicapai dengan Hamas pada 19 Januari.

Lebih 52,300 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terkorban dalam serangan ganas Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu. – Bernama

Scroll to Top