nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kajang: Individu yang mendakwa ‘terserempak’ dengan kenderaan masing-masing yang sudah rosak sepenuhnya (‘total lost’) di jalan raya diminta tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya mengambil serius berhubung isu berkenaan.
“Kami ambil serius perkara ini dan sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan terbabit. Justeru, saya menasihati individu itu serta mana-mana pihak yang mengalami situasi sama supaya membuat laporan kepada polis dan JPJ.
“Ia bagi membolehkan siasatan dilakukan sekiranya ada pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan semula kenderaan itu (total lost),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada tinjauan hari pertama pelaksanaan Program Khas Peralihan LMM Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B di sebuah institut memandu, di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular mesej individu di aplikasi Telegram yang mendakwa saudaranya terserempak dengan keretanya yang sudah rosak sepenuhnya berada di jalan raya.
Malah, semakan dilakukan individu terbabit menerusi aplikasi MyJPJ juga mendapati, cukai jalan kenderaan itu yang diisytihar sebagai rosak sepenuhnya sejak 12 tahun lalu masih aktif.
© New Straits Times Press (M) Bhd




