Laporan bertanggungjawab isu utama media – Jokowi

Laporan bertanggungjawab isu utama media – Jokowi

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Industri media berdepan cabaran sengit khususnya dalam aspek pemberitaan bertanggungjawab di media sosial ketika ini, di samping isu kebebasan media, kata Presiden Indonesia Joko Widodo.

Selain itu, beliau berpandangan industri media berdepan dengan kebanjiran berita daripada media sosial dan media digital lain, termasuk platform asing yang tidak memiliki pengarang atau dikendalikan kecerdasan buatan.

“Saya ingin mengatakan bahawa dunia media sedang tidak baik-baik saja (dalam keadaan tidak baik).

“Dulu isu utama dunia media adalah kebebasan media. Sekarang apakah isu utamanya tetap sama? Menurut saya sudah bergeser (berubah), kerana kurang bebas apa lagi kita sekarang ini?

“Semua orang bebas membuat berita sebebas-bebasnya,” katanya ketika merasmikan Hari Media Nasional (HPN) 2023 di Medan, Indonesia, hari ini.

HPN adalah sambutan memperingati perjuangan kewartawan di Indonesia dalam membangunkan bangsa dan tanah air, yang disambut setiap 9 Februari di lokasi berbeza setiap tahun di Indonesia.

Isu utama media kini bukanlah soal kebebasan, tapi mencakupi soal kebertanggungjawaban dalam pemberitaan dalam sosial media, serta algoritma raksasa digital juga cenderung mementingkan kepentingan aspek komersial semata-mata.

Mengulas lanjut, Jokowi berpandangan isu utama dunia kewartawanan ketika ini adalah dalam aspek pemberitaan bertanggungjawab, berikutan perlu bersaing dengan media sosial dan platform yang bebas menulis tanpa tapisan.

Selain itu, katanya, algoritma syarikat gergasi digital juga lebih cenderung mementingkan kepentingan aspek komersial semata-mata, sekali gus mengutamakan kandungan sensasi berbanding berita bermanfaat yang dihasilkan media profesional.

“Algoritma syarikat gergasi digital cenderung mementingkan kepentingan aspek komersial saja dan hanya akan mendorong kandungan tidak penting yang sensasi,” katanya.

Terdahulu, delegasi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (Iswami) Malaysia diketuai Presidennya, Datuk Mokhtar Hussain, menzahirkan ucapan selamat kepada wartawan Indonesia ketika hadir pada majlis perasmian HPN 2023.

“Selamat dan sukses kepada seluruh pengamal media Indonesia untuk terus menempa kejayaan dalam perjuangan menegakkan kebebasan media bagi menyuburkan demokrasi dan kesejahteraan bangsa,” katanya.

Seramai 22 delegasi Iswami Malaysia menghadiri sambutan HPN 2023, yang turut mengundang 7,000 wartawan dan pengamal media dari seluruh Indonesia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top