hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan peningkatan 1,100 peratus dalam laporan pencerobohan data berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, angka itu menunjukkan impak sebenar gangguan ekonomi dan kehilangan kepercayaan dalam ekosistem digital.
“Saya menyeru supaya PDRM menyesuaikan diri dan menangani cabaran-cabaran ini secara langsung. PDRM mesti berevolusi menjadi sebuah organisasi yang didayakan secara digital, diterajui risikan, serta fleksibel dan proaktif.
“Kami (PDRM) berdedikasi untuk memodenkan pendekatan dengan meningkatkan keupayaan forensik digital, memperkukuh penyelarasan risikan, kerjasama kolektif antara agensi dan antarabangsa, serta membangunkan kemahiran anggota kami secara berterusan,” katanya ketika merasmikan Siri Dialog Khas III PDRM yang dianjurkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah JSJK, Datuk Rusdi Mohd Isa dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman (KDNKA) Datuk Seri Azmi Abu Kassim.
Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, statistik pada Januari hingga Oktober tahun lalu, negara mengalami kerugian lebih RM1.22 bilion akibat pelbagai aktiviti jenayah siber seperti penipuan kewangan, penipuan dalam talian, manipulasi identiti, dan pencerobohan data secara haram.
“CyberSecurity Malaysia melaporkan lebih 5,900 insiden pada 2023, termasuk 3,705 kes penipuan.
“Membanteras jenayah siber bukan sahaja tugas polis, ia memerlukan kerjasama merentasi seluruh jentera kerajaan dan segenap lapisan masyarakat,” katanya.
Menurutnya, siri dialog PDRM ini berfungsi sebagai platform utama untuk bertukar-tukar pandangan operasi, merangka cadangan dasar, dan menggalakkan kerjasama strategik.
“Sesi ketiga ini memberi tumpuan kepada kerumitan dan kesegeraan jenayah siber yang semakin meningkat, menjadikannya topik yang sangat relevan dan kritikal dalam persekitaran hari ini.
“Agenda dialog ini direka dengan teliti dan komprehensif, menampilkan sorotan utama dialog peringkat menteri yang memfokuskan kepada pengukuhan kerangka pertahanan digital negara, panel pakar mengenai undang-undang, teknologi, dan penguatkuasaan, serta perbincangan meja bulat mengenai kerjasama serantau dan pengurusan ancaman rentas sempadan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




