Laporan kemajuan MA63 dibawa ke Majlis Tertinggi pada Mei atau Jun – Fadillah

Laporan kemajuan MA63 dibawa ke Majlis Tertinggi pada Mei atau Jun – Fadillah

am@hmetro.com.my

Kuching: Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Parlimen, Isnin lalu, membincangkan perkembangan terkini beberapa perkara telah dipersetujui serta isu yang masih memerlukan penelitian lanjut antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata mesyuarat itu membabitkan wakil Kerajaan Persekutuan, termasuk daripada kementerian berkaitan, serta wakil Kerajaan Sabah dan juga Sarawak.

Beliau berkata, tujuan utama mesyuarat itu ialah mendapatkan laporan kemas kini mengenai pelaksanaan perkara sudah dipersetujui sebelum ini serta perkembangan isu yang masih dalam perbincangan.

“Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 itu bertujuan mendapatkan laporan kemas kini mengenai perkara sudah dipersetujui dan yang belum dipersetujui,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat dan Pek Makanan di Surau Darul Ikhlas, TM Sarawak Hub di sini, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Fadillah berkata, antara perkara telah dipersetujui ialah berkaitan Pelabuhan Bintulu yang kini sudah dimuktamadkan sepenuhnya.

Pada mesyuarat itu, beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) turut membuat pembentangan khas mengenai beberapa aspek pentadbiran serta bidang kuasa.

Melalui pembentangan itu, katanya, beberapa perkara berkaitan pentadbiran dan cadangan penyerahan kuasa tertentu kepada Kerajaan Sabah serta Sarawak turut dibincangkan, dan pada dasarnya sudah mencapai persetujuan pada peringkat teknikal.

Bagaimanapun, Fadillah menjelaskan bahawa semua perkara yang dibincangkan itu masih perlu dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk pengesahan rasmi.

“Keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas ia dibentangkan kepada Majlis Tertinggi MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan dihadiri kepimpinan tertinggi Sabah serta Sarawak.

“Ini baru peringkat teknikal. Laporan daripada jawatankuasa kerja akan dibawa ke peringkat Majlis untuk sokongan sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat Majlis itu lazimnya diadakan dua kali setahun dan dijangka boleh dilaksanakan sekitar Mei atau Jun depan.

Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, Sabah dan Sarawak turut membentangkan perkembangan berkaitan sistem papan pemuka pemantauan atau ‘dashboard’ MA63 yang sebelum ini dilancarkan di Parlimen bagi menjejaki kemajuan pelaksanaan perkara berkaitan perjanjian itu.

“Sistem ‘dashboard’ itu akan ditambah baik selepas mengambil kira maklum balas daripada kedua-dua kerajaan negeri bagi memastikan pemantauan pelaksanaan MA63 dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan telus,” katanya.

Mengulas cadangan formula pembahagian hasil cukai khususnya membabitkan Sarawak pula, beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan.

Namun, beliau berkata, ia masih memerlukan penelitian lanjut antara Kementerian Kewangan dengan pejabat kewangan negeri sebelum keputusan dimuktamadkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top