rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan berkaitan isu kelemahan tatakelola dan potensi salah laku dalam agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025 yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya akan berhubung dan bekerjasama rapat dengan Jabatan Audit Negara (JAN) bagi mendapatkan maklumat termasuk dokumen sokongan berkaitan untuk siasatan serta tindakan lanjut dengan kadar segera.
“SPRM sentiasa menyokong pendedahan Ketua Audit Negara dan akan menjalankan penelitian secara menyeluruh terhadap laporan berkenaan.
“Ini termasuk mengambil tindakan susulan terhadap sebarang isu yang disyaki mempunyai unsur kesalahan jenayah di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan bukan hanya terhad kepada isu tatakelola semata-mata,” kata kenyataan itu.
SPRM sentiasa komited dalam memastikan setiap dakwaan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah ditangani secara tegas serta telus demi memastikan tadbir urus negara berada pada tahap
tertinggi seterusnya mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi awam.
Terdahulu, media melaporkan, Laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan di Dewan Rakyat menunjukkan beberapa kepincangan yang berlaku dalam pelaksanaan projek dan dana kerajaan.
Terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti kurang pemantauan atau penyeliaan oleh pihak berkaitan, tiada penyelarasan antara agensi berkenaan, tiada pangkalan data lengkap dan kelemahan dalam dasar mahupun prosedur kerja.
Kelemahan ini menyebabkan program, aktiviti atau projek tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan, kualiti kerja tidak memuaskan, kos meningkat dan kerajaan tidak mendapat nilai faedah wang yang dibelanjakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd