Laporan mengarut, Red Bull nafi mahu pecat Klopp

Laporan mengarut, Red Bull nafi mahu pecat Klopp

RED Bull menepis dakwaan media kononnya jawatan Jurgen Klopp sebagai Ketua Bola Sepak Global syarikat itu kini terancam walaupun baru setahun memegang peranan berkenaan.

Sebaliknya, Red Bull menegaskan mereka terus menaruh kepercayaan penuh terhadap bekas pengurus Liverpool itu, sambil seorang eksekutif tertinggi syarikat menyifatkan laporan tersebut sebagai mengarut.

Klopp telah memantau rangkaian kelab di bawah naungan Red Bull seperti RB Leipzig, FC Salzburg, dan New York Red Bulls sejak Januari 2025.

Terdahulu, akhbar di negara asal Red Bull iaitu Austria, Salzburger Nachrichten pada Rabu melaporkan bahawa masa depan Klopp kini menjadi tanda tanya ekoran dakwaan kononnya kurang pembangunan di kelab-kelab berkenaan sejak beliau mengambil alih.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Projek Korporat dan Pelaburan Red Bull, Oliver Mintzlaff bagaimanapun tampil membidas laporan tersebut.

“Ini adalah sesuatu yang mengarut dan langsung tidak berasas. Sebaliknya, kami amat berpuas hati dengan hasil kerja Jurgen Klopp,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mintzlaff, pengendali kelahiran Jerman itu sentiasa berhubung rapat dengan barisan jurulatih dan pengarah sukan di seluruh rangkaian kelab Red Bull.

“Kami yakin beliau adalah individu yang paling tepat untuk tugas ini. Di situlah kami meletakkan tumpuan serta tenaga sepenuhnya,” ujarnya.

Ketika peranan baharu Klopp di Red Bull diumumkan pada 2024, beliau menyatakan tidak mahu kembali ke kerusi kejurulatihan ‘buat masa ini’ dan melihat peranannya lebih kepada penasihat kepada barisan jurulatih di pelbagai kelab sokongan Red Bull di seluruh dunia.

Difahamkan, beberapa kelab sudah pun bergelut dengan prestasi masing-masing sebelum Klopp mengambil alih, namun mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan sejak kebelakangan ini.

Sebagai contoh, Leipzig terlepas slot ke saingan Eropah selepas sekadar menduduki tempat ketujuh dalam kempen Bundesliga bagi musim 2024-25. Bagaimanapun, kelab itu kini berada di kedudukan kelima di bawah bimbingan jurulatih baharu, Ole Werner yang dibawa masuk pada pramusim lalu.

Salzburg pula mencatatkan prestasi bercampur baur pada Piala Kelab Dunia tahun lalu, namun kini kembali menerajui liga Austria selepas terlepas dua gelaran berturut-turut sebelum ini.

Sementara itu, dalam saingan Major League Soccer (MLS), New York Red Bulls gagal melangkah ke playoffs pada 2025, sekali gus meleburkan rekod 15 kemunculan berturut-turut pasukan itu.

Ringkasan AI

  • Red Bull menepis dakwaan media yang mendakwa jawatan Jurgen Klopp sebagai Ketua Bola Sepak Global syarikat itu terancam
  • Red Bull menegaskan kepercayaan penuh kepada bekas pengurus Liverpool itu dan menyifatkan laporan sebagai mengarut
  • Klopp bertanggungjawab dalam memantau rangkaian kelab di bawah naungan Red Bull seperti RB Leipzig, FC Salzburg, dan New York Red Bulls sejak Januari 2025
  • Oliver Mintzlaff, CEO Projek Korporat dan Pelaburan Red Bull, amat berpuas hati dengan hasil kerja Klopp
  • Klopp telah menyatakan peranannya lebih kepada penasihat kepada barisan jurulatih di pelbagai kelab sokongan Red Bull
Scroll to Top