am@hmetro.com.my
Muar: Pempengaruh permotoran dan adik lelakinya yang membuat laporan palsu berhubung kehilangannya susulan kereta dipandu ditemui dalam Sungai Tui, Bukit Kepong, minggu lalu akan didakwa esok.
Dua beradik masing-masing berusia 38 dan 30 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam serta Seksyen 109 kerana bersubahat melakukan kesalahan.
Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata tindakan itu diambil selepas polis mendapat arahan Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) bagi mendakwa dua beradik itu esok.
“Sebagai makluman berkaitan kes sebuah kereta dijumpai terjunam ke dalam Sungai Tui, Bukit Kepong yang berakhir dengan kes laporan palsu dan akan dituduh di Mahkamah Majistret Muar esok,” katanya dalam kenyataan.
Raiz Mukhliz dalam kenyataan media sebelum memaklumkan, pencarian lelaki terbabit ditamatkan susulan terdapat keraguan dalam laporan dibuat adik lelakinya.
Siasatan lanjut dijalankan dan keterangan daripada adik lelaki akhirnya membongkarkan kejadian sebenar yang mana lelaki itu tidak hilang sebaliknya melarikan diri ke negara jiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd