
China sebelum ini turut didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Iran. Foto Agensi
WASHINGTON – Perisikan Amerika Syarikat mendakwa China sedang bersiap sedia untuk menghantar sistem pertahanan udara baharu kepada Iran dalam beberapa minggu akan datang, ketika gencatan senjata antara Washington dan Teheran masih berada dalam keadaan rapuh, lapor CNN.
Menurut laporan itu, langkah tersebut dilihat sebagai perkembangan sensitif memandangkan China sebelum ini menyatakan peranannya membantu memeterai gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Iran dalam konflik bersama Israel.
Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini dijadualkan mengadakan lawatan ke China bagi perbincangan dengan Presiden Xi Jinping, sekali gus menambah sensitiviti terhadap isu berkenaan.
Sumber perisikan yang dipetik media antarabangsa berkata, sistem yang didakwa bakal dihantar itu termasuk peluru berpandu pertahanan udara mudah alih (MANPADS) yang boleh digunakan untuk menembak jatuh pesawat pada altitud rendah.
Laporan sama turut mendakwa terdapat usaha untuk menyalurkan penghantaran tersebut melalui negara ketiga bagi mengelakkan pengesanan asal usulnya.
Bagaimanapun, Kedutaan China di Washington menafikan dakwaan itu dan menegaskan bahawa Beijing tidak pernah membekalkan senjata kepada mana-mana pihak dalam konflik berkenaan.
“China sentiasa mematuhi tanggungjawab antarabangsa dan menolak dakwaan tidak berasas tersebut,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, Rumah Putih memberi amaran bahawa tindakan menghantar senjata kepada Teheran akan membawa implikasi serius terhadap Beijing.
Penganalisis berpendapat, sekiranya dakwaan itu benar, ia menandakan peningkatan ketara dalam hubungan ketenteraan antara China dan Iran ketika rantau Asia Barat masih bergelut dengan ketegangan selepas perang bersama Israel. – Agensi


