Laporan polis terhadap Azam Baki dirujuk kepada Suruhanjaya Sekuriti – Utusan Digital

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima laporan berhubung pendedahan yang dibuat oleh Tan Sri Azam Baki membenarkan adiknya menggunakan akaun beliau untuk pembelian saham.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan dalam satu kenyataan berkata, laporan polis telah dirujuk kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk tindakan selanjutnya.

Baru-baru ini, isu Azam selaku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi panas susulan pengakuan secara terbuka mempunyai kepentingan saham dalam akaun atas nama dirinya yang didakwa konon digunakan pula oleh adiknya sendiri.

Kontroversi itu bertambah buruk apabila semua anggota Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) tampil menafikan penjelasan Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan menyifatkan ia hanya pendapat peribadi beliau.

Susulan itu, pelbagai pihak termasuk pemimpin parti politik menggesa Azam ‘berehat’ atau meletak jawatan kerana skandal saham tersebut menghakis keyakinan rakyat ke atas SPRM.