am@hmetro.com.my
Kuantan: Kerajaan Pahang melarang penggunaan bekas makanan berasaskan polisterin yang akan berkuat kuasa 1 Julai depan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang, berkata justeru, semua peniaga makanan akan diberikan tempoh sehingga 30 Jun depan, untuk beralih kepada alternatif lebih selamat dan mesra alam.
Katanya, keputusan itu adalah langkah penting ke arah melindungi alam sekitar serta mengurangkan pencemaran plastik di negeri ini.
“Sebenarnya kerajaan negeri sudah mengingatkan kepada masyarakat, khususnya peniaga makanan bahawa larangan penggunaan bekas makanan berasaskan polisterin diperkenalkan sejak 2019.
“Namun, masih terdapat segelintir pihak yang tidak mematuhi peraturan ini. Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Pahang sebulat suara bersetuju untuk menguatkuasakan larangan ini secara menyeluruh bermula 1 Julai depan,” katanya.
Sim berkata demikian pada sidang media selepas Program Memacu Kehidupan: Tahun Baharu Cina 2025 anjuran Yayasan PETRONAS di sini hari ini.
Beliau berkata, antara langkah pelaksanaan itu ialah kerajaan negeri akan melancarkan kempen kesedaran awam di seluruh daerah di negeri itu.
Katanya, pendekatan itu bertujuan mendidik pengguna dan peniaga mengenai bahaya penggunaan polisterin serta keperluan beralih kepada bekas mesra alam.
“Peniaga di seluruh Pahang, khususnya dalam sektor makanan dan minuman, digalakkan menggunakan bekas makanan yang lebih selamat seperti bahan biodegradasi atau bekas kertas,” katanya.
Ditanya pelaksanaan penguatkuasaan, beliau berkata, bermula bulan ini, semua PBT di Pahang akan menjalankan pemeriksaan dan memberi notis peringatan kepada premis yang masih menggunakan polisterin.
Katanya, tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang melanggar larangan itu selepas tarikh penguatkuasaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd