Larangan import e-waste berkuat kuasa serta-merta hari ini

Larangan import e-waste berkuat kuasa serta-merta hari ini

mhafis@mediaprima.com.my

Putrajaya: Pengimportan sisa elektronik (e-waste) diklasifikasikan mengikut kategori Larangan Mutlak mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Keputusan ini dicapai melalui Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bil 2/2026, sebagai langkah memperketatkan kawalan kemasukan sisa berbahaya dan melindungi alam sekitar.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki yang mempengerusikan mesyuarat terbabit menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan tegas dan bersepadu oleh semua agensi berkaitan adalah diperlukan.

“E-waste tidak lagi dibenarkan masuk ke negara ini. Penguatkuasaan mesti dilaksanakan dengan tegas membabitkan semua agensi,” katanya.

Sehubungan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) diarah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk meletakkan e-waste di bawah kategori Larangan Mutlak.

Sebelum ini, e-waste disenaraikan Larangan Bersyarat yang mana Ketua Pengarah JAS mempunyai kuasa budi bicara untuk memberikan pengecualian tertakluk kepada syarat tertentu.

Peruntukan ini termaktub dalam Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Mesyuarat turut memutuskan penubuhan Jawatankuasa Khas Penyelarasan E-Waste, yang akan dipengerusikan Komander Kawalan Pintu Masuk Pelabuhan Klang, Selangor, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.

Jawatankuasa ini perlu melaporkan hasil mesyuarat kepada Pasukan Petugas Khas dalam tempoh seminggu bagi memastikan pengurusan e-waste lebih sistematik dan berkesan.

Selain itu, mesyuarat turut membincangkan cadangan pelaksanaan moratorium tiga bulan terhadap pengimportan sisa plastik.

Namun, sebelum keputusan dimuktamadkan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan SWCorp perlu mengemukakan data terperinci mengenai sumbangan sektor berkenaan kepada ekonomi negara untuk pertimbangan Perdana Menteri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top