nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Polis Kelantan menegaskan larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok Kelantan-Thailand terpakai kepada semua termasuk pelajar dan murid sekolah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, mana-mana pihak yang melanggar arahan dengan merentas sempadan secara salah akan ditahan.
“Isu penutupan pangkalan haram sudah lama dikuatkuasakan lebih setahun yang lalu dan sepatutnya semua sudah tahu serta maklum undang-undang berkenaan.
“Saya sudah maklum sebelum ini mana-mana yang mahu rentas sempadan perlu guna laluan sah iaitu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) termasuk pelajar dan murid sekolah.
“Malah isu pelajar dari Thailand yang bersekolah di Rantau Panjang juga sudah diputuskan dengan beberapa pilihan diberikan sebelum ini.
“Tiada lagi alasan untuk menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, mereka yang ditahan merentas sempadan secara haram akan disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.
“Berhubung tangkapan sekumpulan pelajar pagi semalam, keluarga pelajar sebenarnya sudah sedia maklum bahawa tidak dibenarkan menggunakan pangkalan haram untuk ke sekolah sebaliknya perlu menggunakan laluan sah.
“Justeru saya berharap selepas ini semua pihak mematuhi peraturan yang ditetapkan. Tindakan yang dilakukan ini bukan soal saya tegas, sebaliknya ini adalah undang-undang.
“Jika saya membenarkan kumpulan pelajar ini merentas sempadan secara haram, akan ada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kumpulan ini untuk membawa bahan terlarang.
“Malah tindakan saya menutup laluan pangkalan haram termasuk kepada pelajar juga turut dipersetujui Kementerian Pendidikan. Mereka bersetuju dan tidak menghalang,” katanya.
Media semalam melaporkan, seramai 34 pelajar dan murid dari Thailand ditahan ketika merentas sempadan secara haram menggunakan pangkalan haram Jambu untuk ke sekolah di Rantau Panjang.
Mereka ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) jam 6.30 pagi di pangkalan haram Jambu.
Mereka adalah warga Malaysia namun tinggal di Thailand dan bersekolah di Rantau Panjang.
© New Straits Times Press (M) Bhd



