hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Putrajaya: Orang ramai diingatkan supaya tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa pada persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan 2025 bermula Isnin depan hingga 31 Ogos ini di Dataran Putrajaya, di sini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, Putrajaya juga adalah kawasan larangan menerbangkan dron.
Menurutnya, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati gagal mematuhi arahan selaras dengan peruntukan Peraturan 143 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (MCAR) 2016 dan Seksyen 206 (3) MCAR) 2016.
“Pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan melaksanakan tembakan meriam sempena sambutan berkenaan pada hari raptai penuh dah hari acara.
“Sesi raptai penuh di Lot 3C1 Presint 3 (tapak bazar Ramadan Putrajaya) pada 8 pagi, 29 Ogos ini membabitkan dua das tembakan, manakala hari acara di lokasi sama pada 8 pagi, 31 Ogos sebanyak 14 das tembakan akan dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, justeru, penduduk Putrajaya dinasihatkan supaya tidak panik atau cemas apabila terdengar tembakan meriam yang menjadi antara pengisian dalam majlis sambutan berkenaan.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal sekiranya menghadiri sambutan berkenaan.
“Orang ramai digalakkan menggunakan kemudahan pengangkutan alternatif disediakan oleh pihak penganjur seperti ‘shuttle bus’ dan ‘water taxi’ untuk keselesaan serta menjimatkan masa perjalanan sekali gus membantu mengurangkan kesesakan jalan raya,” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan orang ramai boleh menghubungi talian Hotline Polis Putrajaya, 03-8886 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd