KUALA LUMPUR – Larangan mengumumkan peruntukan atau projek baharu selepas hari penamaan calon bagi pilihan raya masih berkuat kuasa selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaik sahaja tarikh penamaan calon diumumkan kempen pilihan raya diteruskan tetapi tiada sebarang pengumuman projek atau dasar baharu dibenarkan dibuat oleh kerajaan negeri serta kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, ketetapan itu adalah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).
“Sebaik sahaja tarikh penamaan calon diumumkan, kempen boleh diteruskan tetapi tidak ada penggunaan jentera atau pengumuman projek atau dasar baharu negeri. Itu peraturannya, jadi ini terpakai bagi projek-projek baharu.
“Ada masalah-masalah dibangkitkan kerana projek diteruskan, itu kalau ikut peraturan memang dibolehkan penerusan projek yang sedia ada.
“Tidak boleh menggunakan jentera untuk mengumumkan projek baharu untuk masa kempen, sama ada di peringkat bandar raya atau kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai sama ada larangan pengumuman peruntukan atau projek kerajaan selepas penamaan calon masih terpakai serta mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Shahidan terdahulu membangkitkan isu pengumuman beberapa peruntukan projek oleh Anwar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di Johor sebelum hari penamaan calon.
Kor Ming pada 25 Jun iaitu dua hari sebelum hari penamaan calon PRN Johor mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM216.44 juta untuk pembangunan perumahan, kemudahan awam dan kebajikan komuniti di Johor.
Ia termasuk RM2.5 juta untuk pengubahsuaian dan pembaikan di 10 blok di Flat Taman Ungku Tun Aminah di Skudai.
Pengumuman berkenaan kemudiannya digunakan sebagai bahan kempen untuk calon DAP Skudai, J Kartiyani.
Anwar berkata, perkara tersebut sentiasa dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sekiranya terdapat keterlanjuran dan pelanggaran etika sepanjang tempoh berkempen.
“Saya kalau umum sebelum penamaan calon, itu peraturan mengizinkan. Jadi, tidak melanggar etika, yang melanggar etika itu kalau ada sumpah seranah, hina, mencerca, menipu itu (berkait) etika lebih besar. Itu yang kita kena elak.
“Jadi kalau berbicara (soal) etika, saya sangat setuju dengan Arau. Kalau kita bangkitkan balik soal akhlak, soal etika dalam kempen ini sangat baik. Ini maknanya jangan terlanjur daripada itu, itu peringatan kepada semua.
“Tidak boleh dan kita juga bentangkan dan bincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri mengingatkan kalau-kalau kebimbangan, keterlanjuran dan juga pada Timbalan-Timbalan Menteri. Ini juga terpakai kepada Menteri Besar dalam tempoh kempen,” katanya.
Berhubung dakwaan pengumuman projek oleh Kor Ming di Johor secara spesifik, Anwar memberitahu, berdasarkan semakan mendapati projek berkenaan telah diluluskan menerusi Belanjawan 2025 dan bukannya projek baharu.
“Saya semak dan dia umumkan projek yang telah diluluskan. Jadi, kalau ikut daripada segi prinsip peraturan pilihan raya itu dibolehkan.
“Ada projek telah diluluskan dalam belanjawan tahun lalu, kemudian kita tekankan dan ulang, itu tidak ada kesalahan dari segi peraturan pilihan raya. Saya semak daripada segi undang-undang dan juga pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang Akta Kesalahan Pilihan Raya,” jelasnya.



