Laras baharu suv

Laras baharu suv

lizamridzuan@hmetro.com.my

SEBAGAI jenama mewah dihasilkan oleh syarikat automotif Toyota pada 1989, kenderaan Lexus terkenal menerusi kombinasi prestasi, kualiti, keselesaan dan inovasi berteknologi tinggi.

Terkini yang ditawarkan ialah kenderaan utiliti sukan (SUV) Lexus RX350 serba baharu yang dilancarkan baru-baru ini dan ia generasi kelima sejak diperkenalkan pada 1998.

Model ini ditawarkan menerusi satu varian sahaja iaitu Lexus RX 350

Luxury dan Vroom berpeluang menyertai sesi pandu uji model ini anjuran Lexus Malaysia yang diadakan di sekitar Lembah Klang.

Dibangunkan menggunakan platfrom GA-K, meskipun dimensi panjang adalah sama seperti model generasi terdahulu iaitu 4,800 milimeter (mm) namun ia kini lebih lebar 25 mm dengan jarak antara roda juga bertambah 60 mm dan tinggi kenderaan 1,695mm.

Selain itu ia juga 90 kilogram (kg) lebih ringan dan pusat graviti juga lebih rendah 15mm bagi kestabilan dan pengendalian lebih baik untuk SUV segmen-C ini.

Untuk rekaan ia tampil dengan ciri lebih elegan sebagai permulaan kepada arah rekaan baharu Lexus dengan elemen gril spindle gaya terkini yang pertama untuk jenama ini.

Ia juga datang dengan garis lebih halus dan sporty, serta rekaan bonet dinaikkan dan bucu tingkap belakang direndahkan untuk bayangan postur lebih rendah dan unik serta tampil sepadan dengan rim aloi bersaiz 21 inci.

Ia tampil menyerlah berdasarkan konsep rekaan ‘Alluring x Verv’ iaitu warna yang direka untuk RX menyerlahkan kualiti buatannya dengan teknologi sonic khusus Lexus.

Untuk ruang kabin berkonsepkan Tazuna dengan memfokus kepada manusia terutama pemandu dengan kemewahan tinggi serta mudah mencapai segala suis serta kedudukan memandu yang ergonomik.

Suis di roda stereng adalah bersepadu dengan ‘head-up display’ dan sistem infotainmen bersaiz 14 inci untuk pelbagai fungsi seperti radio dan navigasi bagi kemudahan perjalanan serta lebih fokus.

Penulis berpeluang duduk di kerusi belakang dengan fungsi penyandar yang boleh dilaras menambah ciri keselesaan terutama untuk perjalanan jauh.

Lampu suasana dengan pilihan 64 warna menambah gaya premium serta zon pendingin hawa tiga zon bagi kenyamanan keseluruhan sepanjang perjalanan.

Lexus RX serba baharu juga dengan sistem pacuan semua roda (AWD) kawalan elektronik dengan agihan tork roda hadapan dan belakang yang optimum.

Ia dijana dengan enjin 2.4 liter empat silinder DOHC, Dwi-VVT-i pengecas turbo dengan transmisi automatik lapan kelajuan direct-shift (8AT) serta teknologi shift-by-wire.

Ia menjana 279PS pada 6,000 rpm dan tork 430Nm pada 1,700 hingga 3,600 rpm dengan tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport.

Memandunya dalam kesesakan lalu lintas serta di atas lebuh raya ternyata lancar ditambah pecutan dan kuasa yang sentiasa mengalirkan tenaganya dan kawalan tambah stabil dengan Suspensi Pembolehubah Adaptif (AVS).

Untuk ciri keselamatan menampilkan Lexus Safety System+ (LSS+) dengan Paparan Pemandangan Panorama serta pandangan 360 darjah, dan Amaran Trafik Melintas Belakang.

Selain itu ia dilengkapi dengan Sistem Amaran Pra-Perlanggaran (PCS), Kawalan Pelayaran Radar Dinamik (DRCC) dan Fungsi Mula dan Henti, Bantuan Mengesan Laluan (LTA) dan Amaran Kelauar Laluan (LDA), Sistem Pancaran Lampu Tinggi Adaptif dengan BladeScan (AHS) dan Bantuan Papan Tanda (RSA).

Ia juga mempunyai ciri E-latch bagi urusan membuka pintu dengan lebih mudah hanya dengan menekan suis dan untuk bahagian dalaman ia boleh dibuka dengan suis pada ibu jari yang terletak pada perehat tangan.

Digandingkan dengan Paparan Titik Buka dan Bantu Keluar Selamat (SEA) ia memberi amaran kepada pemandu sekiranya ada kenderaan atau basikal dari arah belakang.

Fungsi e-latch akan menghalang pintu daripada dibuka bagi mengurangkan risiko perlanggaran antara kelebihan yang terdapat pada model ini.

Secara keseluruhan Lexus RX 350 serba baharu menampilkan gaya terkini Lexus dan model SUV ini juga adalah yang terlaris untuk pasaran tempatan serta global.

Sehingga 2023, ia sudah terjual lebih 3.5 juta unit di seluruh dunia dan kini menjadi pencetus kepada hala tuju bahasa rekaan baharu untuk model akan datang Lexus.

Model ini sudah boleh ditempah dan akan diserahkan kepada pembeli pada penghujung Mei ini.

Terdapat lima pilihan warna iaitu Sonis Quartz, Sonic Iridium, Sonic Titanium, Graphite Black Glass Flake dan Sonic Cooper.

Untuk pasaran Malaysia Lexus RX 350 Luxury dijual pada harga RM468,888 (atas jalan tanpa insurans) dengan lima tahun jaminan tanpa had perbatuan ditawarkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd