Lari dari sekatan jalan raya, remaja cedera diseret pacuan empat roda

Lari dari sekatan jalan raya, remaja cedera diseret pacuan empat roda

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Tindakan menunggang motosikal melawan arus selepas lari dari sekatan jalan raya membawa padah apabila seorang remaja cedera diseret pacuan empat roda dalam kejadian di Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) Kilometer 7.3 Persiaran Sultan, Seksyen 14, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapat pada 8 Mac lalu, polis mengadakan sekatan jalan raya di lokasi berkenaan.

Menurutnya, sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggangi oleh lelaki membuat pusingan U secara berbahaya bagi mengelak sekatan jalan raya.

“Anggota Unit Rondaan Bermotorsikal (URB) yang membuat pemantauan memaklumkan pihaknya cuba menahan motosikal terbabit dengan memintanya untuk berhenti tetapi tidak diendahkan dengan menyeberangi jalan menaiki pembahagi jalan secara berbahaya.

“Penunggang motosikal terbabit kemudiannya dilanggar dan diseret oleh sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang melalui lebuh raya berkenaan sehingga menyebabkan penunggang motosikal itu terjatuh dan mengalami kecederaan.

“Penunggang motosikal itu dibawa oleh pihak ambulans ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan mendapati penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan patah paha kiri, patah bahu kiri serta bahu kanan dan masih ditahan di wad Hospital Shah Alam sehingga kini.

“Siasatan lanjut mendapati, penunggang motosikal itu berumur 17 tahun, seorang pelajar Tingkatan 5 dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Remaja itu melarikan diri daripada pihak polis kerana tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan motosikal yang digunakan tamat tempoh,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam turut menyiasat berhubung kejadian ini mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top