Larian Ecotrail Putrajaya saji pengalaman berbeza

Larian Ecotrail Putrajaya saji pengalaman berbeza

PENGANJURAN larian denai, Ecotrail Putrajaya 2025 yang berlangsung di sekitar pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan baru-baru ini berjaya menarik penyertaan lebih 1,200 peserta dari pelbagai negara.

Menariknya, acara tersebut turut dikategorikan sebagai acara bertaraf ‘ultra’ apabila menawarkan larian jarak jauh sehingga 50 kilometer (km) dan 80km, selain dua lagi kategori jarak sederhana iaitu 10km dan 30km.

Penganjuran yang kini memasuki edisi keempat itu membuktikan bahawa acara larian denai terus mendapat sambutan dalam kalangan peminat aktiviti larian tempatan.

Berbeza dengan larian denai lain yang kerap diadakan di seluruh negara, Ecotrail Putrajaya anjuran syarikat 10 Sense (M) Sdn Bhd menekankan konsep kitar semula kepada semua peserta selain menggalakkan nilai hormat terhadap sesama peserta dan kelestarian alam sekitar.

Pengarah Urusan 10 Sense, Mohd Bukhari Ismail melahirkan rasa puas hati dengan sambutan yang diberikan, memandangkan jumlah penyertaan meningkat saban tahun.

“Ecotrail Putrajaya diinspirasikan daripada acara larian Ecotrail yang telah lama bertapak di Paris, Perancis sejak tahun 2008.

“Sejak itu, ia telah dilaksanakan di pelbagai destinasi di beberapa negara di Eropah dan menjadi antara acara larian denai terkemuka di benua tersebut.

“Malaysia menjadi negara pertama di Asia yang diberi kebenaran untuk melaksanakan acara larian ini sejak tahun 2019 dan 10 Sense telah diberi kepercayaan untuk menganjurkannya setiap tahun.

“Lebih menarik, pada tahun ini, wakil dari Ecotrail International, Jules Danis turut hadir bagi menyertai acara larian yang diadakan di Putrajaya ini,” katanya ketika ditemui media selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Penolong Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya cawangan Kuala Lumpur/Putrajaya, Mohd Farids Saime dan Timbalan Presiden Perbadanan Putrajaya, Shamsul Joehari Zainal Mokhtar.

Bagi kategori 80km, Zulkarnain Mat Nor muncul juara kategori lelaki, Lee Yee Shi (kategori wanita), Yih Huan Sua (kategori lelaki veteran) dan Nurazlina ML (kategori wanita veteran).

Untuk jarak 50km pula, Mohd Azrin Alias menjuarai kategori lelaki, manakala Justine Smith (kategori wanita), Shamsul Kamal Aznann (kategori lelaki veteran) dan Azlin Zainal Abidin (kategori wanita veteran) turut muncul pemenang.

Pelari Pierre Algret berjaya menjuarai kategori lelaki bagi jarak 30km, manakala Ritzy Amor Ectin (kategori wanita), Mohd. Hasrul Hisham Hasim (kategori lelaki veteran) dan Agustina Verawati (kategori wanita veteran) turut mengungguli kategori masing-masing.

Acara 10km pula menyaksikan Muhammad Afiq Sani dinobatkan sebagai juara kategori lelaki, manakala Noor Haneem Mohamad Bokhri (kategori wanita), Ardhi Ismail (kategori lelaki veteran) dan Farhana Ezura Zainal (kategori wanita veteran) turut muncul pemenang.

Selain Putrajaya, Ecotrail tahun ini turut dilaksanakan di beberapa destinasi di benua Eropah seperti Wicklow (Ireland) dan Funchal – Madeira Island (Portugal).

Oslo (Norway), Paris (Perancis), Stockholm (Sweden) dan Geneva (Switzerland) pula akan menjadi lokasi penganjuran untuk tahun 2026.

Mohd Bukhari menjelaskan bahawa antara cabaran utama edisi kali ini ialah cuaca panas terik yang mencecah lebih 35 darjah Celsius seawal jam 10 pagi.

Selain itu katanya, para peserta perlu melalui laluan mencabar yang melibatkan kawasan berbukit, curam, hutan, denai dan kawasan bandar yang menawarkan pelbagai pemandangan menarik.

Antara laluan utama termasuk Taman Wetland, Taman Rimba dan Jambatan Seri Bestari sebelum menamatkan larian di perkarangan bangunan Perbadanan Putrajaya.

“Itulah keunikan Ecotrail Putrajaya yang bukan sahaja menampilkan kehijauan kawasan hutan dan denai yang masih terpelihara, malah memberi peluang peserta menikmati keindahan Putrajaya dari sudut berbeza,” ujarnya.

Scroll to Top