hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Subang Jaya: Polis menahan tiga individu, semalam disyaki terbabit kes seorang lelaki ‘disumbat’ ke dalam lori selepas berlaku pergaduhan di Jalan Persiaran Puchong Permai, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, lelaki berusia 18 dan 19 tahun itu ditahan di Hulu Selangor dan Puchong pada 10 malam.
Katanya, kesemua lelaki warga tempatan itu dipercayai terbabit kes tular melarikan individu di Bukit Puchong.
“Penahanan itu membawa kepada rampasan pakaian dan telefon bimbit mangsa. Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pagi ini untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, seorang lelaki dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki apabila dia ‘disumbat’ ke dalam sebuah lori selepas berlaku insiden pergaduhan di tengah jalan di Jalan Persiaran Puchong Permai, di sini.
Kejadian itu tular di media sosial selepas satu klip video berdurasi 15 saat dimuat naik oleh seorang pengguna yang merakam insiden berkenaan menggunakan telefon bimbitnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd