am@hmetro.com.my
Muar: Polis giat memburu sekurang-kurangnya dua lelaki bertopeng yang memecah masuk sebuah rumah dan melarikan barangan berharga serta kenderaan mewah bernilai lebih RM200,000 di Bakri, sini, Jumaat lalu.
Melalui rakaman video kamera litar tertutup (CCTV), suspek berpakaian serba hitam dilihat keluar dari sebuah rumah di taman perumahan sambil melarikan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Lexus milik lelaki berusia 38 tahun.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku pada jam 9 pagi hingga menyebabkan mangsa kerugian RM230,000.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada di tempat kerja sebelum menerima panggilan daripada jiran memaklumkan terdengar bunyi mencurigakan di rumahnya.
“Mangsa bergegas pulang dan apabila tiba, dia mendapati rumahnya dipecah masuk penjenayah manakala MPV diparkir di hadapan kediaman turut hilang.
“Suspek tidak dikenali memecah masuk rumah mangsa, turut melarikan wang tunai miliknya,” katanya dalam kenyataan.
Raiz Mukhliz berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan.
Katanya, orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di talian 06-9564800.
© New Straits Times Press (M) Bhd