Lasak versatil

Lasak versatil

lizamridzuan@hmetro.com.my

Bagi menonjolkan kelebihan ciri kenderaan laluan lasak mereka, Great Wall Motor (GWM) Malaysia mencuri perhatian peminat 4×4 apabila menganjurkan acara GWM Off-Road Weekend 2025 di Bay 13, Litar Antarabangsa Sepang.

Tumpuan utama sudah tentu terarah kepada kenderaan utiliti sukan (SUV) off-road popular jenama itu, Tank 300, yang membuktikan kemampuannya sebagai jentera ideal untuk pemandu baharu dan yang sudah berpengalaman.

Acara kali ini menampilkan pendekatan berbeza berbanding sesi demonstrasi tahun sebelumnya, apabila media mengendalikan Tank 300 dalam laluan off-road yang direka secara dinamik, luas dan lebih mencabar.

Laluan tersebut merangkumi trek berbatu, kawasan berlumpur, laluan ‘tapak gajah’, selekoh curam serta lintasan air buatan seakan-akan keadaan jalan luar bandar sebenar di Malaysia termasuk situasi di ladang, kawasan pergunungan dan tapak perkhemahan ketika hujan.

Daripada segi kuasa, GWM Tank 300 dikuasakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat silinder selari yang menghasilkan 220 PS (217hp atau 162kW) pada 5,500rpm, serta tork 380Nm pada 1,800 hingga 3,600rpm.

Dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan dan sistem pacuan 4WD pintar, SUV ini menawarkan pergerakan yang lancar serta tork rendah yang mencukupi untuk menghadapi permukaan mencabar dan ketika sesi pandu uji dengan jalan basah dan berlumpur.

Lebih menarik, semua kenderaan digunakan dalam sesi ini menggunakan tayar asal jenis Highway Terrain (HT) tanpa sebarang pengubahsuaian ekstrem yang menunjukkan keupayaan sebenar SUV ini tanpa bergantung pada modifikasi luar.

Ia tampil dengan rekaan badan berbentuk segi empat dan ciri maskulin, dibina atas casis ladder-frame dengan sistem 4WD separuh masa, adalah bukan sekadar SUV bergaya, tetapi memang sesuai untuk dipandu ke arena lasak.

Namun yang membezakan Tank 300 daripada pesaingnya ialah keseimbangan antara keupayaan dan keselesaan yang mana ia direka untuk pemilik SUV harian yang ingin mencuba off-road tanpa perlu menjadi ‘pakar’ sistem pacuan.

Dengan ciri seperti hill descent control, crawl mode, rear diff lock, dan sistem multi-terrain mode (9 mod pemanduan), pemandu hanya perlu memilih mod sesuai dan biarkan sistem bekerja secara automatik.

Sepanjang laluan, penulis dapat merasakan sistem kawalan cengkaman dan pengagihan tork aktif memainkan peranan penting menstabilkan kenderaan walaupun di permukaan tidak rata dan licin. dan Wheelspin hampir tidak berlaku walaupun ketika mendaki cerun becak.

Satu lagi ciri menarik yang diperkenalkan ialah “Tank Turn Assist” yang membolehkan Tank 300 berpusing pada sudut tajam, sangat berguna ketika melalui lorong sempit atau kawasan berselut yang sukar membuat pusingan U.

Sesi merentasi air menjadi cabaran paling mencabar selepas hujan lebat membentuk kolam semula jadi sedalam hampir 60cm, namun, dengan keupayaan wading setinggi 700 milimeter (mm) dan pandangan kamera 360∞ “transparent chassis view”, pemandu dengan mudah mengemudi laluan tersebut.

Sistem suspensi jenis double wishbone di hadapan dan multi-link coil spring di belakang memberikan prestasi yang seimbang dan cukup tegar untuk cabaran off-road, namun kekal selesa untuk pemanduan harian.

Walaupun menempuh laluan mencabar, kabin Tank 300 tetap senyap dan stabil malah tiada bunyi berlebihan atau gegaran keras dirasai, mencerminkan kualiti pembinaan dan ketahanan struktur keseluruhan.

Rekaan dalaman SUV ini turut menarik perhatian dengan tempat duduk kulit premium, fungsi urutan, skrin paparan berkembar 12.3 inci dan sistem infotainmen lengkap Apple CarPlay serta Android Auto, menjadikan pengalaman dalam kabin sangat moden dan mewah.

Secara keseluruhannya, Tank 300 adalah sebuah jentera gaya maskulin bukan sahaja sesuai untuk kegunaan harian malah boleh menjelajah ke kawasan luar bandar dengan laluan lasak.

Ciri bantuan pemanduan bukan sahaja menjadikan kawalan lebih mudah malah pemandu juga tambah yakin dengan ciri kamera bawah lantai bagi melihat halangan atau kawasan berbatu.

Menurut Pengarah Urusan GWM Malaysia, Encik Kenny Lee, acara ini bertujuan membuktikan bahawa off-road bukan eksklusif untuk pakar sahaja dan Tank 300 adalah SUV yang memberi keyakinan kepada pemilik biasa untuk mencuba gaya hidup lasak.

Beliau turut menambah bahawa sokongan selepas jualan terus diperkukuh, dengan lebih banyak pusat servis 3S dan 4S dijadualkan dibuka menjelang akhir tahun, serta pelan jaminan 7 tahun tanpa had perbatuan bagi semua pembeli.

“Dengan sambutan yang sangat positif dan maklum balas memberangsangkan, acara ini dijangka menjadi acara tahunan utama GWM Malaysia yang membuktikan bahawa dunia off-road kini semakin inklusif, praktikal dan bergaya untuk rakyat Malaysia moden,” katanya.

Untuk pasaran tempatan, GWM Tank 300 ditawarkan pada harga RM250,000 (atas jalan tanpa insurans) dan adalah model import sepenuhnya (CBU) dari China.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top