suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pegawai Perhubungan Komunikasi (PPK) Negeri Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran bertindak lebih proaktif dalam menjalin kerjasama strategik bersama media bagi memastikan maklumat agensi disampaikan secara tepat, cepat dan berintegriti kepada masyarakat.
Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim, berkata PPK berperanan sebagai ‘orang tengah’ antara pengarah negeri dengan pihak media dalam menyalurkan data serta maklumat rasmi berkaitan operasi, program pencegahan dan aktiviti SPRM di setiap negeri.
“Setiap PPK harus bertindak secara proaktif dan bukannya reaktif selain memikirkan bagaimana untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan media menerusi aktiviti seperti sesi libat urus, bengkel atau program sukan.
“Jika ada program besar atau aktiviti di peringkat negeri seperti sukan atau majlis rasmi, PPK boleh mencadangkan pembabitan media,” katanya pada Majlis Penutupan Program Penulisan Lanjutan Bersama PPK Negeri SPRM Tahun 2025 Mengikut Zon (Zon Selatan)di pejabat SPRM Johor di sini semalam.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada PPK yang mengikuti kursus berkenaan dan menegaskan kepentingan hubungan berterusan dengan media, bukan hanya apabila timbul isu atau permintaan.
“Semoga ilmu dan pengalaman yang diperoleh menerusi program ini dapat dimanfaatkan oleh pegawai, terutamanya apabila mereka berkhidmat di negeri lain kelak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Cawangan Korporat dan Perhubungan Awam Bahagian Komunikasi Strategik (BKS), Badrila Jamlus, berkata peranan PPK bukan sekadar membantu menyediakan hebahan aktiviti dalaman, tetapi turut mengenal pasti berita berimpak tinggi untuk dikongsikan kepada media.
Beliau turut menasihati PPK agar sentiasa bersedia berdepan situasi tidak dijangka, khususnya apabila diminta mengulas isu atau perkara membabitkan media.
Untuk rekod, program tiga hari bermula 15 Oktober itu disertai 11 pegawai SPRM dari Negeri Sembilan, Melaka dan Johor mewakili PPK Zon Selatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



