Latihan Udara LIMA ’25 Rosakkan Rumah Penduduk Kampung, Tingkap Dan Siling Pecah | Oh! Media

Latihan Udara LIMA ’25 Rosakkan Rumah Penduduk Kampung, Tingkap Dan Siling Pecah | Oh! Media

Kejadian mengejutkan berlaku di Kampung Padang Wahid, Langkawi apabila kira-kira lima buah rumah dilaporkan mengalami kerosakan dipercayai berpunca daripada gegaran latihan pertunjukan udara sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA ’25) pagi tadi.

Memetik laporan Kosmo!, latihan yang sepatutnya menjadi tarikan utama acara LIMA itu ternyata memberi kesan luar jangka kepada penduduk kampung apabila bunyi dentuman kuat bukan sahaja memekakkan telinga, malah turut menyebabkan siling dan tingkap rumah pecah serta khemah niaga bergegar hebat.

Penduduk trauma, rumah bergoyang macam kena gempa

Menurut pemilik rumah dikenali sebagai Anis Amilia binti Abdullah, ini bukan kali pertama rumahnya rosak akibat gegaran latihan udara, tetapi kali ini cukup berbeza.

Bunyi letupan lebih kuat pada pagi tadi berbanding tahun-tahun sebelumnya. Bumbung rumah ini sudah banyak kali mengalami kerosakan kerana latihan LIMA tetapi ini kali pertama kami membuat laporan polis kerana tidak tahu sama ada kami boleh menuntut kerugian atau tidak.

Seorang lagi penduduk bernama Siti Hazirah Che Hamat turut berkongsi detik cemas yang dialaminya ketika sedang berniaga di bawah khemah betul-betul di hadapan rumahnya.

Saya terasa khemah saya terangkat sebelah semasa bunyi letupan tersebut dan saya terdengar cermin tingkap rumah jiran meletup pada masa yang sama. Rumah saya dan jiran berkembar tetapi jiran saya mengalami lebih banyak kerosakan pada cermin tingkap berbanding saya hanya dua keping tingkap yang meletup.

Difahamkan, beberapa pegawai polis telah hadir ke lokasi dan menasihatkan penduduk untuk membuat laporan rasmi bagi memudahkan sebarang tindakan lanjut berkaitan tuntutan kerugian.

Pssttt! Dalam kes ni, siapa sepatutnya yang bertanggungjawab ya? Semoga tindakan susulan dapat dilakukan dengan segera agar nasib penduduk tidak terus terabai.

Kredit: Kosmo!
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.

Scroll to Top